"Saya sedang menunggang motosikal di Taman Lindungan Jaya. Rakan saya Murugan membonceng...Tiba-tiba sekumpulan remaja Melayu mengejar kami. Mereka menyerang Murugan. Dia jatuh dan cuba melarikan diri.

Sebilah parang besar di baling ke arah saya. Saya tergelincir dan jatuh. Saya dikerumuni oleh remaja yang sedang marah. Seseorang kemudiannya memukul khaki saya. Saya menjerit kesdakitan. Kemudiaan kumpulan seramai kira-kira 50 orang itu mula menyerang kami..."

(Demikian cerita seorang mangsa kejadian Kampung Medan yang berlaku pada 8 Mac 2001).

Catatan di atas dipetik daripada buku bertajuk 'March 8' tulisan K Arumugam. Menurut Arumugam, mangsa tersebut, V Mathavan, berusia 26 tahun ketika itu, dibelasah terus, tetapi nasib rakannya Murugan adalah lebih teruk lagi.

Murugan mengalami kecederaan parah di kepala, jatuh koma dan kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk rawatan lanjut.

Buku Arumugam itu yang ditulis dalam Tamil memberi analisa yang terperinci tentang apa yang sebenarnya berlaku di Kampung Medan dan kawasan sekitarnya di Petaling Jaya Selatan pada 8 Mac 2001.

Dan beliau mendakwa wujud motif politik di sebalik serangan tersebut, yang mengakibatkan enam kematian dan lebih 200 lagi cedera sebahagian besarnya kaum India.

Buku tulisan Arumugam setebal 98 muka surat itu telah diharamkan oleh kerajaan Disember lalu.

Arumugam berkata, bukunya itu disenaraihitamkan kerana kerajaantidak mahu rakyat membincangkan kejadian tersebut.

"Saya telah membuat beberapa kesimpulan dalam buku tersebut, mengenai siapakah yang mungkin di sebalik serangan itu dan atas sebab apa. Semua ini, saya rasa, membuat pihak berkuasa tidak selesa.

Pencabulan hak asasi manusia

Apabila malaysiakini menemui Arumugam baru-baru ini, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai usaha seseorang dalam parti pemerintah untuk mencetuskan perselisihan di kalangan orang Melayu dan India.

Hari ini sudah enam tahun berlalu sejak kejadian itu berlaku dan sampai sekarang tiada siapapun yang dapat secara pasti apa yang sebenarnya berlaku di Kampung Medan.

Kejadian di kampung yang merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi itu, berlanjutan selama 15 hari, mulai 8 Mac.

Para saksi berkata, serangan terhadap penduduk setinggan itu, sebahagian besarnya kaum India, pada kejadian itu bermula kira-kira jam 10 malam. Selepas kejadian tersebut, mangsa, ahi politik dan pertubuhan bukan kerajaan menuduh pihak polis tidak mengambil tindakan, di samping dakwaan kononnya parti pemerintah juga ada kaitan dengannya.

Malah, beberapa orang mangsa mendakwa, dalam beberapa keadaan, pihak polis dikatakan membantu penyerang mereka.

"Ini merupakan kes pencabulan hak asasi manusia yang terburuk di Malaysia, tetapi kurang mendapat perhatian pihak kerajaan," kata peguam hak asasi manusia, P Uthayakumar.

Jawatankuasa Pemantau Polis di mana Uthayakumar menjadi penasihat undang-undangnya, adalah antara yang pertama turun memberi sokongan kepada para mangsa kejadian itu. Mereka juga membuat kritikan pedas terhadap kerajaan kerana mendiamkan diri berhubung insiden tersebut.

"Pada kerajaan, ia adalah satu pergaduhan kaum antara orang Melayu dengan orang India dari kampung Medah. Tetapi bukan itu kesnya," katanya kepada malaysiakini.

"Bercakap dengan mangsa, bercakap dengan penduduk tempatan, dan anda akan tahu ianya bukan satu pergaduhan kaum. Ia adalah satu serangan kaum ke atas orang India," katanya.

"Enam orang mati dan ramai lagi cedera tetapi sehingga ini tiada seorangpun yang didakwa atas pembunuhan enam orang itu atau kerana mengakibatkan cedera parah kepada yang lain-lainnya.

"Apa yan gkita lihat ialah beberapa orang didakwa dengan tuduhan mencetuskan kekacauan dan pergaduhan. Itu sahaja," tambahnya.

Kumpulan Uthayakumar telah meminta kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya diraja atau sekurang-kurangnya mengeluarkan kertas putih mengenai kejadian tersebut tetapi semuanya tidak berhasil.

Malah, beliau telah mengkritik Suhakam kerana gagal untuk menangani perkara itu.

"Tiada apa yang berlaku. Mangsa masih di sana bersama kenangan pedih mereka tetapi tiada siapa pun yang berminat untuk mencari kebenarannya," katanya.

Mangsa-mangsa juga telah memfailkan sekurang-kurangnya dua saman terhadap kerajaan dan menuntut gantirugi akibat kejadian tersebut, tetapi kes-kes tersebut masih menunggu untuk didengar. Kes tersebut difailkan pada tahun 2003 dan 2004.

'Teruskan kehidupan'

Sejurus selepas kejadian itu, ahli-ahli politik dari parti pemerintah berkata, pergeseran antara kaum di situ adalah berpunca daripada keadaan kehidupan penduduknya di kawasan setinggan itu.

Berikutan itu, selepas kejadian tersebut, jalan-jalan di situ telah ditar, telefon awam dan lampu jalan dipasang manakala longkang-longkang di situ turut dibersihkan.

Kini enam tahun sudah berlaku dan keadaan Kampung Medan juga sudah berubah. Tiada lagi kawasan setinggan, yang telah digantikan dengan flat kos rendah. Tetapi mereka yang terbabit dalam kejadian tersebut masih tinggal di situ, walaupun ramai penduduk baru mendiami flat dan apartmen yang dibina di persekitarannya.

Bagi mangsa-mangsa ini, rasa bimbang masih menyelubungi hidup mereka. Malaysiakini menemui beberapa mangsa yang kini mahu meneruskan kehidupan walaupun kejadian itu masih segar di ingatan mereka.

"Kita tidak tahu bilakah kejadian seumpama itu akan berulang. Hubungan antara kaum di sini masih rapuh. Kita tinggal dalam kebimbangan," kata L Krishnan, 49, seorang pemandu teksi.

Mangsa-mangsa dari kaum India ini berkata penyerang mereka adalah orang luar yang datang ke Kampung Medan dengan misi tertentu.

"Jiran Melayu saya merayu kepada penyerang tersebut supaya jangan mengapa-apakan saya," kata seorang peniaga kedai runcit kaum India.

"Penduduk Kampung Medan kenal satu sama lain. Mereka semua bersetuju bahawa orang yang menyerang kaum India pada Mac 2001 itu bukan orang Melayu dari kawasan sekitar situ," kata Arumugam.

Jika itulah halnya, maka siapa mereka ini?

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dipetik oleh media tempatan pada 25 Mac 2001 sebagai berkata, ia adalah satu serangan yang dirancang dan tindak-tanduk penyerangnya menunjukkan seolah-olah "mereka diarahkan oleh seseorang untuk melakukannya".

Jangan ungkit kisah lama

Bagaimanapun, penduduk Melayu di situ memberitahu malaysiakini bahawa bukan orang luar yang mencetuskan kejadian tersebut.

"Saya percaya ianya berlaku akibat sedikit salahfaham. Selepas itu ia diperbesar-besarkandan pemuda Melayu di situ kemudiannya dilihat mundar-mandir bersenjatakan parang. Mereka mencari pemuda India," kata seorang penduduk lama di situ, Aminah Hassan, 53.

Tetapi beliau mengakui, beberapa hari selepas itu, penduduk perasaan kehadiran ramai pemuda Melayu dari luar kampung tersebut untuk melindungi orang Melayu di situ.

"Kami tidak tahu siapakah yang mengarah mereka datang ke sini tetapi mereka sudahpun ada di sini," kata seorang ahli veteran Umno.

Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin Umno di situ untuk bertanya mengenai keadaan Kampung Medan sekarang, tetapi mereka keberatan untuk bercakap secara terbuka mengenai kejadian tersebut.

"Ia masih sensitif. Ia satu tanda hitam dalam sejarah kita di sini. Kami tidak mahu bercakap mengenainya," kata seorang ketua bahagian.

Ramai penduduk Melayu berkata mereka mahu meneruskan kehidupan seperti biasa dan melupakan kejadian pada 8 Mac itu dan hari-hari seterusnya.

"(Hubungan) kami sudah kembali seperti sediakala dengan rakan-rakan India kami di sini. Jadi tak payahlah ungkit yang lepas-lepas," kata seorang penduduk lama di situ yang tidak mahu namanya di sebut. Berita asal