Dompok batalkan pertemuan dengan Zulkipli dan Ramli
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti membatalkan jemputan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, dan bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan, untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu Isnin ini.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti membatalkan jemputan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, dan bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan, untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu Isnin ini.
Menurut Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok, yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini mengenai beberapa pertuduhan yang dibuat oleh Ramli terhadap Zulkipli.
"Siasatan mengenai tuduhan itu kini dijalankan dan ditangani oleh pihak polis dan pejabat Peguam Negara. Pada masa yang sama, Ramli telah memfailkan saman terhadap enam pihak (termasuk Ketua Pengarah BPR) berkaitan perkara yang sama.
"Justeru, berlandaskan keputusan majoriti, jawatankuasa hari ini memutuskan untuk membatalkan jemputan kepada Ramli dan Zulkipli memberi keterangan pada 12 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan tiga perenggan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata siasatan polis terhadap dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap Zulkipli kini tertumpu kepada aspek mengimbangi kenyataan Ramli dan pemilikan harta Zulkipli dalam tempoh 10 tahun.
Ramli, yang bersara wajib pada 8 Disember lalu telah membuat aduan polis pada Julai lalu mendakwa Zulkipli adalah "seorang pegawai kanan polis rasuah dengan memiliki harta dan aset diperoleh menerusi amalan rasuah."
Reaksi Kit Siang
Dalam reaksinya, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang turut menganggotai jawatankuasa pilihan khas itu, terkejut dengan pembatalan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Lim berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak media mengenainya pada kira-kira jam 3 petang tadi dan menerima panggilan telefon dari pegawai Parlimen memaklumkan perkara itu pada kira-kira jam 4.40 petang.
Lim mempersoalkan keputusan Dompok untuk membatalkan sesi tersebut kerana menurut ketua pembangkang itu, keputusan untuk memanggil Zulkipli dan Ramli dibuat secara rasmi oleh jawatankuasa pada 28 Februari lalu.
"Selaku pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Dompok tidak harus tunduk kepada tekanan untuk membatalkan mesyuarat jawatankuasa pilihan khas Parlimen Isnin ini untuk mendengar penjelasan Ramli dan Zulkipli," katanya.
Lim juga ingin tahu sama ada keputusan jawatankuasa itu memanggil Ramli dan Zulkipli turut dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam dan ekoran itu, Dompok berdepan dengan 'tekanan' untuk membatalkan mesyuarat tersebut.
Lagi pula, katanya, Zulkipli dan Ramli telahpun secara terbuka menyatakan kesediaan mereka untuk bertemu dengan jawatankuasa berkenaan kerana kedua-dua berkata, mereka tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

