Calon Gerakan Tanah Air (GTA) kawasan parlimen Port Dickson Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri membuat laporan di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pesaingnya Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ia susulan Ahmad Idham mendakwa bahawa Aminuddin selaku menteri besar hilang kelayakan untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Dalam surat bantahan bertarikh 7 Nov, Ahmad Idham berkata bahawa pencalonan Aminuddin telah melanggar Artikel 48 (1) (c) yang menetapkan seseorang calon akan hilang kelayakan menjadi ahli parlimen apabila dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan.

Menurutnya, Aminuddin masih memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang sah mengikut perlembagaan dan lunas undang-undang.

"Oleh itu, sepatutnya beliau hilang kelayakan untuk bertanding di dalam PRU15 sebagai calon ahli parlimen disebabkan beliau memegang jawatan berpendapatan seperti termaktub di dalam perlembagaan.

"Justeru, saya memohon pihak SPR menyemak semula perkara in berpandukan perlembagaan negara supaya pihak SPR sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat kerana menjunjung tinggi perlembagaan negara," katanya dalam surat bantahan itu.

Ketika dihubungi, Ahmad Idham mengesahkan bahawa telah menghantar surat bantahan tersebut.

"Ya, saya mengesahkan telah menghantar surat bantahan.

"Saya masih menunggu maklum balas daripada SPR," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi SPR untuk maklum balas.

Parlimen Port Dickson merupakan kubu kuat PH disandang oleh Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Pada PRU 15, PH meletakkan Aminuddin menggantikan Anwar selepas dia bertanding di Tambun, Perak.

Selain, Aminuddin dan Ahmad Idham kerusi itu ditandingi calon BN P Kamalanathan, Rafiei Mustapha mewakili PN dan Rani Kulup selaku calon Bebas.