Anwar: Tiada bukti untuk batalkan pencalonan Ramanan
Tiada bukti menunjukkan calon Pakatan Harapan (PH) untuk Sungai Buloh, R Ramanan, terbabit dalam kes penipuan RM5.5 juta seperti didakwa, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Disoal mengenai perkara itu oleh seorang pelajar universiti pada sesi dialog di Kuala Lumpur hari ini, pengerusi PH itu berkata dia tidak teragak-agak untuk menarik balik pencalonan Ramanan jika ada pihak yang mempunyai bukti dan fakta kukuh mengenai isu itu.
Oleh itu, Anwar menjangkakan satu-satunya kesalahan yang dilakukan oleh Ramanan (atas) ialah dia adalah bekas ahli MIC.
"Jadi saya pertahankan (pencalonan Ramanan), walaupun ada soalan-soalan dan ini kita review (kaji semula) bila dibangkitkan, saya ambil perhatian, tengok ada tak (bukti), tak ada.
"Sebab dia dulu MIC, itu saja 'kesalahannya', tapi dia lawan dengan (calon) Umno, (yang dikaitkan dengan) lagi banyak kes, persoalan ECM Libra, 'budak tingkat empat', vaksin.
"Tak apa, itu tuduhan, jawablah, biar dia (Ramanan) jawab, kalau ada bukti, fakta, bawa (kepada saya), saya tunggu. Memang saya tengok ada satu trend untuk membangkitkan isu ini.
"Tapi saya tunggu kalau ada bukti saya akan batalkan kerana sebelum saya sign (tandatangan) watikah (pencalonan) tu, watikah tu saya sign (tandatangan), saya kena ada clear conscience tidak akan menjejaskan kedudukan PH dan Keadilan (PKR).
"Dan oleh kerana orang tanya, saya tunggu, setakat ini ada orang bisik begini tu, tapi tiada bukti. Saya percaya, insya-Allah, dia akan menang di Sungai Buloh," kata Anwar.
Anwar berkata PKR telah menjalankan semakan ke atas calon mereka dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
"Seperti saya, ada yang kata saya ejen Israel atau ejen AS, atau ejen di berpuluh-puluh negara. Jika James Bond 007, apakah nama kod saya? Ini bodoh. Malah ada yang mengatakan mereka tidak boleh menyokong Anwar kerana dia menyokong LGBT," katanya.
Dalam kes sivil pada 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ramanan memperoleh RM5.5 juta dengan mengemukakan surat palsu, yang menyebabkan plaintif, pakar psikiatri M Mahadevan, percaya Ramanan boleh mendapatkan sewa yang terhutang kepadanya oleh Kementerian Pertahanan.
Kementerian Pertahanan telah menggunakan tanah pakar psikiatri sebagai sarang tembak.
Susulan keputusan itu, Ramanan meletakkan jawatan sebagai bendahari agung MIC.
Dia memulangkan RM5.5 juta kepada plaintif, dan tuntutan mahkamah diselesaikan di luar mahkamah.
Ramanan memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu adalah salah faham perniagaan dan telah diselesaikan secara baik.
Tiada pertuduhan jenayah dibuat terhadap Ramanan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/b99fd39ff6be0ceb61c07d235ee9f2c4.jpg)
