Banjir di Kg Johan Setia, lapan mangsa diselamat
Lapan mangsa diselamatkan pasukan penyelamat ekoran banjir yang melanda di Kampung Johan Setia, Klang, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya telah menerima panggilan 5.49 petang dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dan Balai Bomba dan Penyelamat Andalas sampai di lokasi 7.30 malam.
"Mengikut laporan awal kedalaman air adalah lebih dua kaki dan terdapat lima mangsa yang diselamat oleh pasukan bomba sukarela dan tiga mangsa warga emas diselamatkan anggota bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Johan Setia dan kerja-kerja menyelamat masih diteruskan dengan melakukan pemeriksaan di kawasan yang terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Norazam memaklumkan kira-kira 200 rumah di Kampung Johan Setia, Klang terjejas akibat kejadian banjir kilat sekitar pukul 6 petang ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan awal, paras air di beberapa tempat di kawasan berkenaan mencecah sehingga lebih setengah meter susulan hujan lebat pada sebelah petangnya, namun beberapa jam kemudian paras air semakin beransur surut.
Bagaimanapun menurutnya operasi pemindahan mangsa masih diteruskan dengan seramai 30 mangsa dari lapan buah rumah telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Johan Setia.
"Ketika ini paras air banjir di kawasan itu semakin surut, dalam suasana hujan renyai,”katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata selain bomba, operasi itu turut melibatkan polis, bomba sukarela, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Klang dan Angkatan Pertahanan Awam.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/6110a411bf8612770419978ce0fceafa.jpg)
