Kg Medan: Penduduk mendoakan keamanan berterusan
Banyak teori ditimbulkan mengenai punca kejadian Kampung Medan. Ada pihak yang menuding jari ke arah parti pemerintah. Ada pula yang mendakwa pemaju hartanah terbabit untuk mengusir setinggan di situ. Manakala yang lainya berkata ia kemuncak pergeseran antara penduduk Melayu dan India di situ.
Banyak teori ditimbulkan mengenai punca kejadian Kampung Medan. Ada pihak yang menuding jari ke arah parti pemerintah. Ada pula yang mendakwa pemaju hartanah terbabit untuk mengusir setinggan di situ. Manakala yang lainya berkata ia kemuncak pergeseran antara penduduk Melayu dan India di situ.
Pergaduhan antara penduduk Melayu dan India di kawasan ini, yang tercetus selama 15 hari, mengakibatkan enam kematian empat penduduk India, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat India. Pada masa yang sama, hampir 200 orang lagi cedera sebahagian besarnya penduduk India.
Sehingga ini, tiada alasan yang konklusif ditemui, manakala kerajaan pula mahu pristiwa itu berlalu. Begitu juga dengan ahli-ahli politik tempatan yang mahu melupai kejadian itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Namun, bagi mangsa kejadian tersebut, ianya masih segar dalam ingatan mereka walaupun kawasan tersebut telah banyak berubah di mana kawasan setinggan yang pernah wujud di situ, kini digantikan dengan flat dan apartmen.
Bekas ahli akademik, Prof P Ramasamy berkata, penduduk setinggan harus menerima hakikat bahawa tidak siapa pun yang dapat membantu mereka.
Sebaliknya, kata beliau mereka mesti berdiri di atas kaki sendiri dalam menguasai kehidupan mereka dan menghadapi cabaran dan ancaman.
Menurutnya, satu perkara positif daripada kejadian tersebut ialah penduduk India di situ kini semakin bersatu.
Model penempatan penduduk
Malam tadi, penduduk Rumah Panjang KTM di situ telah mengadakan upacara sembahyang di kuil untuk mengingati mangsa yang terkorban serta memohonkan keamanan yang berterusan di kawasan tersebut.
Rumah Panjang KTM tersebut, yang suatu masa dahulu terkenal dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah, kini muncul sebagai sebuah model penempatan penduduk.
"Sekarang tidak ada kegiatan samseng di sini. Para remajanya tidak lagi terbabit dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah, dan penduduknya pada umumnya sudah menyedari tentang hak dan keperluan mereka," kata Pengarah Projek Khas, Yayasan Strategik Sosial, K Barmasevam.
YSS merupakan sebuah badan kerajaan yang ada kaitan dengan MIC yang membantu banyak kawasan setinggan di seluruh negara untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduknya dari kalangan kaum India.
Ianya telah berjaya melaksanakan banyak program seumpama itu di kawasan setinggan di Petaling Jaya Selatan.
"Matlamat kami ialah untuk menyedarkan mereka bahawa mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih baik. Kita menjalankan program untuk golongan wanita, belia dan remaja yang bermasalah," katanya kepada malaysiakini.
Projek kemasyarakatan YSS
Modus operandi YSS ialah dengan membabitkan penyertaan penduduk tempatan yang kemudiannya akan mengambil alih program tersebut.
"Kita sentiasa berusaha untuk mengubah minda penduduk setinggan dari kalangan kaum India di sini. Kami berpuashati dengan penyertaan penduduk tempatan tetapi kami juga ada batasannya," kata Barmasevam.
Masalah utamanya ialah kekurangan dana, Malah, aspek kewangan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan program yang dijalankan di peringkat akar umbi.
Dan program-program yang sedang dijalankan oleh YSS di kawasan setinggan Petaling Jaya Selatan, juga tidak terkecuali daripada masa tersebut.
Ini ditambah pula dengan masalah yang timbul ekoran penempatan semula penduduk setinggan ke rumah pangsa dan apartmen berkos rendah berhampiran.
"Konsep kejiranan yang disemai di sini akan hilang apabila mereka berpindah ke kawasan penempatan baru dan menemui jiran baru. Oleh itu, mereka perlu menjaga diri mereka dengan para pemimpin tempatan yang telah kita kenalpasti," tambah Barmasevam.
S
okong pihak alternatif
Dan ini merupakan masalah baru yang dihadapi oleh penduduk dari kalangan kaum India terbabit, yang mendakwa mereka terpinggir selepas berpindah ke kawasan baru itu.
Menurut mereka, sokongan politik bagi penduduk Melayu di kawasan flat dan apartmen itu begitu kuat berbanding dengan sokongan politik untuk penduduk India.
Ianya begitu kuat, kata mereka, sehinggakan pihak MIC yang merupakam parti komponen Barisan Nasional (BN) pun tidak dapat berbuat apa-apa.
Sehubungan itu, Prof Ramasamy (foto) berkata, penduduk setinggan tidak harus bergantung sepenuhnya kepada MIC untuk membantu mereka.
Beliau turut mencadangkan agar rakyat menyokong perkembangan alternatif di negara ini.
"Mereka mesti memberi sokongan kepada parti-parti dan NGO yang mahu mengutamakan kaedah yang tidak berunsurkan perkaunan untuk menangani isu-isu politik, sosial dan ekonomi yang serius," katanya. Berita asal

