Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Prasarana: LRT digantung bagi elak kemalangan lepas tren 'hilang' dari monitor
Diterbitkan:  Nov 10, 2022 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Prasarana hari ini menjelaskan firma itu terpaksa menghentikan perkhidmatan LRT dari Kelana Jaya ke Ampang Park kerana bimbang akan berlaku insiden perlanggaran sekali lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif firma itu, Azharuddin Mat Sah berkata, tren tidak dapat bergerak secara automatik dan gagal dilihat pada monitor RapidKL semalam.

“Dan itu sangat penting… Jadi kami terpaksa buat pengumuman yang sangat sukar untuk menggantung operasi.

“Kami tahu ramai yang terjejas akibat gangguan ini, tapi keutamaan kami adalah keselamatan. Kita pastinya tidak mahu kejadian malang yang berlaku pada Mei 2021 berulang.

“Setiap kali kami menjalankan operasi kami, kami perlu yakin ia selamat. Kalau kami tidak memenuhi piawaian tinggi yang kami tetapkan, kami tidak akan menggerakkan tren dan akan memaklumkan kepada orang ramai dengan sewajarnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Kemalangan pada 2021 adalah yang paling teruk melibatkan laluan LRT Kelana Jaya.

Dalam kemalangan itu, sebuah tren yang sedang diuji di landasan telah dilanggar sebuah lagi tren yang membawa 213 penumpang. Beberapa penumpang cedera parah dalam nahas itu.

Prasarana mengumumkan semalam perkhidmatan rel antara Kelana Jaya dan Ampang Park akan digantung selama 7 hari, menyebabkan gangguan besar kepada pengangkutan awam di Lembah Klang.

Azharuddin berkata, jurutera telah berusaha menyelesaikan masalah itu sejak Sabtu lalu.

Pakar dari Thales Group - pengeluar peralatan asal - juga telah diterbangkan dari Kanada untuk memberikan bantuan.

Azharuddin berkata Prasarana akan memberi pampasan kepada penumpang dengan tambang percuma bagi setiap hari sejak tren berkenaan tidak beroperasi.

Sementara itu, Prasarana menggunakan bas pengantara untuk membawa penumpang yang terjejas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS