Lam Thye: Modul latihan fizikal PLKN dikaji semula
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan bermesyuarat Khamis ini untuk mengenalpasti sama ada untuk meneruskan atau tidak modul latihan fizikal sekarang berikutan berlaku kemalangan dan kematian pelatih ketika menjalani latihan di kem.
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan bermesyuarat Khamis ini untuk mengenalpasti sama ada untuk meneruskan atau tidak modul latihan fizikal sekarang berikutan berlaku kemalangan dan kematian pelatih ketika menjalani latihan di kem.
Pengerusi MLKN, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, mesyuarat itu akan mengkaji sama ada latihan fizikal yang diberikan terlalu berat untuk para pelatih PLKN.
Katanya, mesyuarat itu akan mencari jalan memperbaiki kelemahan pelaksanaan PLKN, dengan penekanan serius terhadap aspek latihan fizikal yang merangkumi hampir 45 peratus keseluruhan program khidmat negara.
"Jika program (latihan fizikal) yang ada sekarang tidak sesuai ia akan diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas menutup PLKN Kem 1 Siri 4/2007 di kem PLKN Kuala Kubu Baru.
Menurut laporan Bernama, Lee juga berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah perlu untuk memastikan tahap kesihatan pelatih berada dalam keadaan yang baik.
Sebagai contoh, katanya, setiap pelatih yang tidak sihat akan diletakkan di bawah pengawasan unit medik setiap kem.
Kesihatan pelatih
Selepas tiga hari, katanya, jika keadaan kesihatan pelatih terbabit tidak berubah, mereka dia akan dihantar ke hospital.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya, telah meminta nasihat Kementerian Kesihatan melalui menterinya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan oleh menteri berkenaan untuk mengkaji bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada MLKN.
"Jawatankuasa tersebut akan memberikan hasil laporan dalam masa dua minggu lagi," katanya.
Seramai 31,696 pelatih seluruh negara menamatkan latihan PLKN Kem 1 Siri 4/2007 hari ini selepas tiga bulan menyertai programtersebut.
Lee berkata, PLKN seterusnya akan dilancarkan pada bulan Jun dan Julai depan.

