Papan undi olok-olok dibuat pelajar diturunkan pihak universiti
Papan mengundi olok-olok yang diwujudkan sekumpulan pelajar di kampus Universiti Nottingham Malaysia (UNM) telah diturunkan oleh pihak pengurusan universiti itu pada 8 November lalu.
Papan itu mempamerkan tiga gabungan politik; PN, PH dan BN.
Pelajar terbabit mengambil bahagian dalam eksperimen dengan meletakkan pelekat pada gabungan pilihan mereka.
PH mendapat pelekat terbanyak, diikuti BN di tempat kedua dengan 21 pelekat dan PN di tempat terakhir dengan 12 pelekat.
Papan itu dipamerkan pada 7 November lalu tetapi dikeluarkan daripada kampus itu oleh pengurusan universiti pada hari berikutnya.
Kumpulan pelajar itu, yang enggan dikenali, bercakap kepada Malaysiakini mengenai tujuan mewujudkan papan mengundi itu.
Mereka mempromosikan sebuah acara berhubung impak golongan muda terhadap politik pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang bagi menggalakkan pelajar menggunakan hak mengundi mereka.
"Papan mengundi itu hanyalah strategi pemasaran untuk memulakan interaksi dengan pelajar," kata kumpulan itu.
Foto eksperimen berkenaan tular di Twitter, menyebabkan pengguna media sosial itu memuji usaha pelajar berkenaan mempraktikkan pengetahuan mereka dalam politik.
Tak dapat kebenaran
Bagaimanapun, apabila papan itu diturunkan pihak pengurusan universiti, terdapat spekulasi bahawa keputusan undian itu menjadi sebab ia dialihkan.
Sebaliknya, kumpulan pelajar itu menafikan kecurigaan tersebut.
"Universiti lain telah menjalankan eksperimen serupa dengan keputusan yang sama dan mereka tidak berdepan tindak balas yang sama," kata mereka.
Kumpulan itu juga mengatakan keputusan undian olok-olok itu bukan isu utama kerana hanya mahu mendengar pendapat daripada pelajar pada acara tersebut.
Sumber tanpa nama di UNM mendakwa sebab mengapa papan itu dibuang ialah kerana tiada kebenaran daripada pihak berkuasa universiti.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a3857469b6af11426f8b5798fed4fe6f.jpg)
