Laporan bahawa kerajaan mengeluarkan 3,000 permit import (AP) baru bagi kereta import adalah tidak benar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kerajaan tidak lagi mengeluarkan AP baru sejajar dengan arahan Kabinet tahun lalu.

Sebaliknya, kata beliau, jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikannya ada mengeluarkan 3,000 AP khas untuk kereta yang tersadai di pelabuhan negara sebelum arahan Kabinet dibuat.

"Kita keluarkan AP itu kerana kereta itu telah ada di pelabuhan. Ini adalah masalah saki-baki... semasa tempoh peralihan, itu saja.

"Jadi keseluruhan jawatankuasa mempersetujui perkara ini," katanya kepada wartawan Malaysia di Busan, Korea Selatan semalam.

Menurut Bernama, Najib sedang mengadakan lawatan rasmi enam hari atas undangan Presiden Roh Moo-hyun, selepas menamatkan lawatan kerja empat hari ke Jepun.

Katanya, kerajaan tetap akur dengan keputusan sebelum ini bahawa AP baru tidak akan dikeluarkan kepada mana-mana pihak.

Tiada lagi AP baru

Laporan tersebut menyebut kerajaan mengeluarkan AP semula setelah menghentikan pengeluarannya hampir setahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz pula, ketika turut mengulas laporan itu berkata, kementeriannya tidak lagi terlibat dalam pengeluaran AP termasuk juga AP baru itu.

Sebaliknya, kata Rafidah, sebuah jawatankuas khas yang ditubuhkan Kabinet mengendalikan pengeluaran AP itu, antaranya kepada kereta jenama Wald.

Mengulas lanjut, Najib berkata, AP khas itu dikeluarkan secara bersiri tahun lalu, melibatkan beberapa pihak setelah mereka yang membawa masuk kereta itu, mengikuti kaedah tradisi yang wujud sebelum pembekuan AP, bertanggapan akan diberikan AP.

Bagaimanapun katanya, pemberian AP khas itu dibuat setelah melalui proses ketat oleh Kementerian Pengangkutan.

Selepas ini, katanya, tiada lagi AP baru yang akan dikeluarkan lagi.