BERITA Malaysiakini

Nik Sapeia dilantik pengerusi PPP K'tan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53, dilantik sebagai Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Negeri Kelantan berkuatkuasa kelmarin.

Presiden PPP Datuk M Kayveas berkata mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu sebulat suara melantik Nik Sapeia dalam mesyuarat semalam.

"Kita bersetuju melantik beliau. Saya sudah kenal lama beliau dalam Persatuan Datuk-datuk Persekutuan lagi.

"Ini memberi peluang untuk beliau cergas dalam politik... kita tak mahu orang sebegini lari ke parti pembangkang. Lebih baik mereka berada dalam Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat PPP Bahagian Jempol di Bahau semalam.

Menurut laporan Bernama, Kayveas berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam parti sejak tiga bulan lalu.

Nik Sapeia sebelum ini dituduh menyebabkan kecederaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Kota Bharu pada Julai tahun lalu.

Semalam, Nik Sapeia gagal dalam permohonannya di Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya itu.

Kayveas berkata Nik Sapeia pernah berada dalam Umno selama 30 tahun sebelum menyertai PPP.

Beliau berkata perlantikan itu dibuat terlebih dahulu dan usaha untuk mendapatkan keanggotaan parti akan dilakukan kemudian.

Disambung hari ini

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam, peguam Zainal Abidin Mustafa, dalam hujahnya berkata, pertuduhan terhadap Nik Sapeia, 53, perlu dibatalkan kerana pihak pendakwaan gagal mematuhi Seksyen 128 Kanun Tatacara Jenayah, sekaligus gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan ketika mengedalikan kes berkenaan.

Beliau berkata anak guamnya itu sepatutnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu ekoran berlaku kesilapan, kerana kes beliau adalah kes saman dan bukan kes tangkapan.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan, Nik Sapeia direman selama tiga hari bermula 28 Julai dan dilanjutkan sehingga 12 tengah hari 1 Ogos tahun lalu untuk siasatan kes yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini kira-kira jam 11 pagi 28 Julai lalu.

Bagaimanapun katanya apa yang berlaku, Nik Sapeia yang dibebaskan daripada reman, dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 9 Ogos lalu untuk dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan mengikut kes tangkapan.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana anak guam saya pada masa itu adalah orang yang bebas kerana tidak dilepaskan dengan jaminan polis atau ditangkap, namun diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahli perniagaan itu hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Zainal Abidin berkata berdasarkan kegagalan pendakwaan itu, mahkamah tidak berhak mengeluarkan saman atau waran terhadap anak guamnya untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwaraya, Muhamad Iskandar Ahmad yang membantah permohonan itu berkata pihak pendakwaan melaksanakan prosedur yang sepatutnya ketika mengendalikan kes tersebut.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan juga katanya, tidak tertakluk di bawah Seksyen 128 Kanun Tatacara Jenayah sebagaimana dihujahkan pihak peguambela.

Majistret Azman Mustapha Azman berkata mahkamah bersetuju dengan Zainal Abidin bahawa kes itu adalah kes saman dan bukannya kes tangkapan, namun menolak bantahan berkenaan kerana tertuduh tampil dengan sendiri ke mahkamah.

Beliau juga memerintahkan perbicaraan kes itu disambung hari ini.

Zainal Abidin kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan merayu keputusan yang dibuat majistret itu ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwaraya, Raja Rozela Raja Toran. Kira-kira 47 saksi akan dikemukakan sepanjang perbicaraan berkenaan.

Isteri dan anak serta beberapa anggota keluarga Nik Sapeia turut hadir mengikuti prosiding mahkamah semalam.