Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata kerusi parlimen Gerik kembali menjadi 'putih' (kerusi yakin menang) selepas penamaan calon.

Katanya, kerusi itu mungkin dianggap ‘kelabu’ (peluang menang 50-50) sebelum penamaan calon kerana calon BN bagi parlimen itu, Asyraf Wajdi Dusuki bukan orang tempatan.

Asyraf akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Tarmizi Mohd Jam and calon Perikatan Nasional (PN) Fathul Uzir Ayob dalam usaha mempertahankan kubu kuat Umno itu.

Tarmizi, bekas pengarang lidah rasmi PAS, Harakah, mewakili DAP. Dia mengetuai cawangan DAP yang mempunyai kira-kira 300 ahli Melayu.

Asyraf Wajdi Dusuki

"Dulu mungkin oleh kerana katanya ada sedikit kekecohan kerana calon yang dibawa sebagai calon BN parlimen itu bukan orang tempatan.

"Itu waktu sebelum penamaan calon. Tapi, kekecohan itu berjaya ditangani.

"Saya percaya terdahulu orang kata ia 'kelabu', kerana ada kekecohan tapi sekarang saya percaya ia sudah 'putih'," kata Saarani kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Balai Desa Semai, Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chendriang, Tapah, Perak, pagi tadi.

Asyraf yang merupakan ketua Pemuda Umno diletakkan sebagai calon di kawasan itu selepas penyandangnya Hasbullah Osman meninggal dunia.

Saarani mengulas kenyataan veteran Umno Nazri Aziz yang meramalkan parlimen Gerik sebagai kerusi 'kelabu' kerana Asyraf menerima tentangan daripada ahli Umno kawasan berkenaan.

Nazri sebelum ini memberitahu Malaysiakini parlimen Gerik dan Pasir Salak sebagai ‘kerusi masalah'.

Katanya, dua kawasan itu dianggap sebagai masalah dari segi faktor calon.

"Pertama Gerik, ini kerana calonnya bukan daripada kawasannya, malah bukan daripada negeri (Perak). Dah tentu dia akan bermasalah kerana biasalah kita mahu calon tempatan.

"Namun, saya fikir oleh kerana pengundi luar bandar mereka ini pegang pada lambang, akhir nanti benda ini boleh selesai dan kita boleh menang,” kata Nazri.

Nazri Aziz

Bagaimanapun, Nazri tetap menyifatkan Gerik sebagai kerusi 'kelabu'.

Sementara bagi Pasir Salak, Nazri merujuk kepada pencalonan Khairul Azwan Harun menggantikan penyandangnya Tajuddin Abdul Rahman.

Pada mulanya, pencalonan Khairul menimbulkan rasa tidak senang penyokong Tajuddin.

Tajuddin bagaimanapun kemudian menyatakan sokongan kepada penggantinya.

Antara pencabar Khairul dalam saingan empat penjuru itu ialah Nik Omar dari PH, yang merupakan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Omar berharap reputasi bapanya yang dihormati dan disayangi oleh penduduk Pasir Salak akan memberinya kelebihan.

Nik Omar Nik Abdul Aziz

Sementara itu, Malaysiakini mengikuti kempen Asyraf dan Tarmizi di Gerik.

Latar belakang dan kelayakan Asyraf dilihat menarik perhatian pengundi Melayu manakala hubungan DAP Tarmizi dilihat menjadi cabaran buat bekas ahli PAS dan Amanah itu.

Bagaimanapun, Tarmizi dilihat mendapat sambutan di kalangan pengundi Cina.

Terdahulu, Saarani merasmikan balai desa Semai yang siap dibina pada tahun 2018.

Balai itu merupakan projek komuniti Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan daripad Petaling Jaya Rotary Club dan sumbangan orang ramai.