Anwar akan tanding jawatan presiden PKR
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun beliau dilarang memegang sebarang jawatan awam.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun beliau dilarang memegang sebarang jawatan awam.
"Parti telah mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan presiden. Beliau telah menerimanya dan akan bertanding, dan jika terpilih, beliau akan memimpin parti ini," kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Walaupun tindakan itu melanggaqr larangan lima tahun ke atas Anwar daripada memegang sebarang jawatan awam, parti itu berpendapat, ia tidak akan menyekat ahli-ahlinya daripada mencalonkan beliau untuk jawatan presiden.
Parti itu merancang untuk mengemukakan rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi mebenarkan Anwar menjadi presiden PKR.
Di bawah Seksyen 9A(4) Akta Pertubuhan, ROS mempunyai kuasa untuk mengecuali dan mengurangkan tempoh larangan ke atas Anwar daripada aktif dalam politik.
Bagaimanapun, sekiranya ROS enggan melonggarkan larangan ke atas, parti tersebut akan mencabarnya di mahkamah.
Sekiranya rayuan di mahkamah itu juga gagal, maka Anwar terpaksa melepaskan jawatan tersebut atau parti itu menghadapi dengan kemungkinan dibubarkan.
Chua berkata, keputusan Anwar untuk bertanding jawatan presiden mencerminkan komitmennya terhadap pembangkang, serta menghapuskan khabar angin yang beliau mungkin kembali ke pangkuan Umno.
"Kita rasa masanya sudah tiba untuk beliau secara rasmi menjadi pemimpin Keadilan dan menghapuskan tanggapan kononnya beliau hanya menunggu peluang untuk kembali kepada Umno," katanya.
Pemilihan parti Mei ini
Parti Keadilan Rakyat atau PKR, kini dipimpin oleh isteri Anwar Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan wakil rakyat tunggal parti itu di Parlimen.
Parti itu kini sedang mengadakan mesyuarat bahagian dan sebahagiannya besarnya mencalon Anwar untuk bertanding jawatan presiden. PKR dalam pemilihan parti itu di Seremban Mei depan.
Pada 1998, Anwar telah dipecat daripada jawatan dalam kerajaan dan kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat. Beliau dibebaskan pada 2004 selepas enam tahun merengkok di penjara apabila Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan tuduhan liwat ke atasnya.
Bagaimanapun, ekoran beliau disabit atas tuduhan pertama, iaitu salahguna kuasa, maka undang-undang pilihanraya melarang beliau aktif dalam politik selama lima tahun, sehingga April 2008.
Larangan tersebut berkuatkuasa pada hari Anwar selesai menjalani hukuman bagi kesalahan salahguna kuasa pada 15 April 2003.
Pilihanraya umum mesti diadakan pada awal 2009, tetapi terdapat spekulasi Perdana Menteri, Datuk Ahmad Badawi akan mengadakan pilihanraya mengejut, bagi menghalang Anwar daripada mengambil bahagian.

