Perdana Menteri Sementara, Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memperkecilkan anggota jemaah menterinya sekiranya BN memenangi pilihan raya umum ke-15, (PRU15) Sabtu ini dan dirinya dipilih menerajui Putrajaya sekali lagi.

Katanya, saiz kabinet yang akan dibentuk nanti adalah lebih kecil berbanding jumlah menteri sekarang dengan menggabungkan beberapa kementerian.

“Saya bagi jaminan bahawa yang saya akan kecilkan kabinet saya kerana kabinet sekarang terlalu besar... ini janji saya tetapi siapa yang menjadi menteri kabinet akan saya tentukan,” katanya yang dipetik Bernama, semalam.

Sehubungan itu, katanya BN perlu fokus untuk mencapai kemenangan pada PRU15, sebelum memikirkan mengenai barisan kabinet yang baru.

Ismail Sabri juga mengakui berasa agak kecewa apabila ada rakan dalam kabinetnya daripada Umno tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRU15.

Empat menteri kabinet Umno yang tidak dicalonkan semula ialah Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamad Saddique.

Sebelum ini, penyandang kerusi parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh memutuskan siapa akan dilantik sebagai anggota kabinet, jika BN memang dalam PRU15.

Katanya, ini adalah hak perdana menteri, dan bukan presiden Umno yang perlu difahami.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak menguas lanjut tetapi mahu BN supaya fokus untuk mencapai kemenangan sebelum memikirkan mengenai barisan kabinet yang baru.

“Jadi kita kena menang dulu, kalau tak menang saya pun tak jadi perdana menteri. BN mesti menang dahulu.. selepas menang BN, insya-Allah saya akan ambil kira semua kepentingan, kena ada teknokrat, kena ada ahli politik,” katanya.

Zahid, malam tadi memberitahu wartawan di Hutan Melintang, Bagan Datuk bahawa selaku pengerusi BN dia menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan seorang perdana menteri sekiranya BN menang, Sabtu ini.

Katanya, BN yakin bahawa kuasa mutlak Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang terdapat di dalam perlembagaan persekutuan 43 (1) (B) dalam melantik perdana menteri.