MAIP bincang fatwa penggunaan bin/binti Abdullah
Fatwa melarang orang bukan Islam menggunakan bin atau binti Abdullah apabila memeluk agama Islam di Perlis perlu dibawa kepada Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) terlebih dahulu untuk diputuskan.
Fatwa melarang orang bukan Islam menggunakan bin atau binti Abdullah apabila memeluk agama Islam di Perlis perlu dibawa kepada Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) terlebih dahulu untuk diputuskan.
MAIP akan bersidang pada 2 April dan akan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Tuanku Syed Putra JamalullailDr Mohamed Asri.
Mufti Perlis Dr Mohamed Asri Zainul Abidin berkata, walaupun keputusan telah dibuat, fatwa itu belum dilaksana dan dijadikan undang-undang kerana perlu dibawa kepada MAIP terlebih dahulu untuk diputuskan.
Beliau berkata, jika perkara itu melibatkan unsur perundangan, fatwa iti akan dibawa pula ke peringkat kerajaan negeri kerana pertukaran nama akan melibatkan banyak perkara berkaitan.
Berhubung permintaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perlis supaya Majlis Fatwa negeri mengkaji semula keputusan mereka, Dr Mohamed Asri berkata pegawai terbabit mungkin salah faham.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, fatwa tersebut bukan pandangan peribadi tetapi dicapai sebulat suara oleh Majlis Fatwa Negeri.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan tersebut sudah tentulah mengambil kira pandangan semua 13 anggota majlis yang hadir dalam perbincangan itu, termasuk beliau sendiri.
"Sebelum keputusan diambil, kami sudah mengambil kira semua aspek termasuk akidah Islam dan perundangan negara. Selaku Mufti, saya hanya mengumumkan keputusan itu," katanya kepada pemberita di Kangar semalam.
Terima banyak aduan
"Kami mengambil keputusan itu setelah memikirkan kesan akan datang, baik buruknya dan apakah ia tidak menyentuh akidah umat Islam. Satu lagi sebab lain, kami menerima banyak aduan tentang masalah ini (pertukaran nama kepada bin Abdullah).
"Kami tidak akan mengeluarkan fatwa jika kami tidak menerima aduan dan kami akan melakukannya jika kami fikirkan ia perlu dibuat.
"Kita tidak perlu terlalu sentimen terhadap sesuatu perkara. Keputusan Majlis Fatwa ini adalah untuk kebaikan semua dan kita mahu pamerkan bahawa Islam agama adil," katanya.
Dr Mohamed Asri berkata sekiranya maksud nama seseorang bukan Islam itu kurang baik dan akan timbul masalah jika dikekalkan apabila memeluk Islam, individu itu perlu mengubah nama itu untuk keselesaan.
"Tetapi jika dia mahu mengekalkannya, apa salahnya. Kalau nama bapa dia bermaksud kurang baik, dia yang masuk Islam, bukan bapanya," katanya.
Sementara itu Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim Berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, beliau menghormati keputusan Majlis Fatwa.
"Semua fatwa yang dikeluarkan akan diputuskan dalam persidangan MAIP dan jika diluluskan, akan dibawa ke peringkat Exco untuk perbicangan berhubung pelaksanaannya kerana pasti melibatkan undang-undang," katanya di pejabatnya semalam.

