Pencalonan presiden: ARO adakan pertemuan dengan bahagian
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Rahman Othman akan mengadakan pertemuan dengan bahagian yang mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden PKR dalam Kongres Nasional di Seremban, Mei ini.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Rahman Othman akan mengadakan pertemuan dengan bahagian yang mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden PKR dalam Kongres Nasional di Seremban, Mei ini.
Setakat ini dua bahagian PKR Merbok dan Padang Serai kedua-duanya di Kedah mencalonkan Abdul Rahman untuk bertanding jawatan presiden dalam Kongres Nasional Mei ini.
Ini bermakna beliau sudah layak bertanding jawatan tersebut kerana sudah mendapat dua pencalonan sepertimana yang disyaratkan oleh parti.
Abdul Rahman berkata, beliau akan mengadakan pertemuan tersebut bagi mendapatkan maklumbalas daripada bahagian-bahagian yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan presiden.
"Saya akan memberi jawaban untuk bertanding atau tidak, apabila ibu pejabat parti menghantar surat kepada saya sama ada menerima pencalonan tersebut atau sebaliknya." katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Sebanyak 167 bahagian PKR sedang mengadakan mesyuarat perwakilan yang akan berakhir pada 31 Mac ini.
Beri peluang
Abdul Rahman yang juga Ketua bahagian PKR Muar berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada bahagian untuk mencalonkan sesiapa sahaja bertanding sebarang jawatan dalam parti.
"Saya menegaskan bahawa pertandingan jawatan dalam parti (PKR) tidak akan melemahkan parti atau menyebabkan berlakunya perpecahan," katanya.
Beliau berkata, pertandingan dalam parti berlaku tiga tahun sekali dan itulah masa untuk bahagian di seluruh negara memilih pucuk pimpinan mengikut citarasa dan kehendak mereka.
Katanya, ada usaha melobi yang dilakukan pemimpin tertentu semasa mesyuarat bahagian PKR berjalan sekarang.
Bagaimanapun, katanya, melobi bukanlah satu kesalahan selagi ia dijalankan secara sihat dan mengikut perlembagaan parti.
Sementara itu, Ketua PKR bahagian Padang Serai Mat Saad Din ketika dihubungi berkata, akar umbi ahli di bahagian Padang Serai mahu Abdul Rahman memimpin PKR kali ini.
Anwar dahului
"Bahagian Padang Serai merasa amat yakin dengan pengalaman Abdul Rahman yang pernah menjadi bendahari dan timbalan presiden parti akan dapat menjadi Presiden PKR yang baik," katanya.
Dalam mesyuarat PKR bahagian Padang Serai, Sabtu lalu, Abdul Rahman mendapat 42 undi manakala Anwar memperolehi 12 undi.
Bagi jawatan timbalan presiden, bahagian tersebut mencalonkan Dr Syed Husin, manakala tiga jawatan naib presiden ialah Ezam Mohd Noor, Fuziah Salleh dan Datuk S Nallakarupan.
Manakala Shamsul Iskandar Md Akin dicalonkan untuk jawatan ketua angkatan muda, dan Roziah Ismail pula dicalonkan bagi jawatan Ketua Wanita PKR.
Setakat ini, Anwar mendahului senarai pencalonan jawatan Presiden PKR dengan mendapat 26 bahagian, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail (5) dan Abdul Rahman (2).

