Penyandang jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali mendahului Naib Presiden Azmin Ali dalam pencalonan untuk jawatan nombor dua parti itu.

Syed Husin sehingga ini menerima 16 pencalonan manakala Azmin mendapat 14 pencalonan. Proses pencalonan masih berjalan di mana 167 bahagian PKR sedang mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing yang akan berakhir pada 31 Mac ini.

Di samping itu, bekas ketua Angkatan Muda PKR,Ezam Mohd Nor turut menerima dua pencalonan untuk jawatan timbalan presiden. Beliau dicalonkan oleh bahagian Bukit Mertajam dan Merbok.

Ezam baru-baru ini telah melepaskan semua jawatannya dalam parti itu tetapi kekal sebagai ahli biasa. Beliau kini menumpukan perhatiannya kepada Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).

Manakala penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima 26 pencalonan setakat ini bagi bertanding jawatan presiden, yang kini disandang oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah pula menerima lima pencalonan manakala bekas timbalan presiden Abdul Rahman Othman turut menerima dua pencalonan daripada bahagian Padang Serai dan Merbok.

Menurut biro penerangan PKR, sehingga hujung minggu lalu, 33 bahagian sudah selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Jawatan naib presiden

Bagi jawatan naib presiden pula, penyandangnya, Dr Lee Boon Chye mendahului 14 calon lain dengan mendapat 29 pencalonan.

Ini iikuti oleh Naib Presiden yang dilantik, Mustapa Kamil Ayub yang mendapat 12 pencalonan. Dua lagi penyandang jawatan itu, Sivarasa Rasiah mendapat 11 pencalonan manakala Azmin memperolehi sembilan pencalonan.

Pendatang baru, Datuk S Nallakarupan sehingga ini memperolehi 12 pencalonan. Manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menerima dua pencalonan untuk jawatan naib presiden.

Yang lainnya yang turut dicalonkan untuk jawatan naib presiden ialah Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh (8), Ezam (6), Timbalan Pengerusi PKR Sabah Dr Jeffrey Kitingan (3) dan Timbalan Setiausaha Agung Dr Xavier Jayakumar (2).

Bekas Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Rahim Ghouse; Ketua PKR Pulau Pinang, Zahrain Hashim, ahli Majlis Tertinggi, Dr Mansor Osman dan Dr Badrul Amin Bahron masing-masing menerima satu pencalonan. Berita asal