"Hak sayalah nak buat laporan polis atau tidak", begitulah jawapan saksi perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang dituduh menyebabkan kecederaan ke atas

bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Julai tahun lalu.

Wan Mohd Hafiz Wan Awang, 26, saksi kedua pendakwaan berkata demikian di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini ketika disoal balas peguam Zainal Abidin Mustapha mengapa beliau tidak membuat laporan polis mengenai perbuatan Nik Sapeia yang didakwanya dilihat menyembur gas pemedih mata ke dalam kenderaan yang dinaiki bekas perdana menteri itu.

Menurut laporan Bernama, Wan Mohd Hafiz berkata, beliau tahu perkara itu penting untuk dilaporkan kepada pihak polis namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.

Nik Sapeia, 53, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat orang termasuk Dr Mahathir, 82, selain bekas ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, 55, Mohd Nasir Muda, 45, dan Suberi Sahidan, 47.

Ahli perniagaan perikanan laut dalam itu dituduh melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira jam 11 pagi 28 Julai tahun lalu.

Nik Sapeia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu bagi setiap pertuduhan.

Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah beliau nampak tertuduh menyembur bahan seperti asap dari tin kecil ke dalam kenderaan yang dinaiki bekas perdana menteri ketika kejadian pada pagi 28 Julai tahun lalu di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Laporan polis

Ketika ditanya Zainal Abidin mengapa beliau secara peribadi tidak membuat laporan polis walaupun turut menjadi mangsa dalam kejadian itu, Wan Mohd Hafiz sekali lagi menegaskan beliau berhak untuk tidak membuat laporan (polis).

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Zainal Abidin bahawa beliau tidak membuat laporan polis kerana beliau sendiri was-was dan tidak melihat Nik Sapeia yang menyembur bahan berkenaan.

Peguam itu berkata, saksi hanya sedar Dr Mahathir tidak lagi berada dalam kenderaan Pajero itu hanya setelah matanya tidak lagi terasa pedih.

Wan Mohd Hafiz juga berkata beliau nampak Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Datuk Ibrahim Ali yang merupakan bapa saudaranya yang turut menjadi mangsa semburan berkenaan dari jauh.

"Saya hanya tengok dia (Ibrahim) dari jauh, saya pun tak boleh buat apa, mata pedih dan hidung juga bengkak," katanya.

Selepas itu, katanya, Ibrahim berucap kepada orang ramai sebelum keluar dari kawasan lapangan terbang untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Kira-kira jam 11.45 pagi katanya, beliau terus ke Ibupejabat Polis Daerah Kota Baharu kerana mengetahui Ibrahim sedang membuat laporan polis berhubung kejadian di situ.

Soal balas saksi

Wan Mohd Hafiz berkata selesai membuat laporan polis, Ibrahim menaiki kereta yang dipandunya dan ketika di dalam kereta, beliau memberitahu Ibrahim beliau melihat tertuduh yang sembur bahan berkenaan.

"Sebaik diberitahu, Ibrahim berkata `Iye ke mu ni?' (betul ke kamu ni?). Saya kata betul. Dia (Ibrahim) terus minta saya hantar dia ke Hotel Renaissance (di Kota Baharu), tempat Tun (Dr Mahathir) berada," katanya.

Jelasnya, turut berada bersama-sama dalam kereta berkenaan ialah seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Yuti' yang merupakan penyokong Ibrahim. Selepas menghantar Ibrahim ke hotel berkenaan beliau terus pulang ke rumah untuk bersiap untuk solat Jumaat.

Zainal Abidin yang mula menyoal saksi kira-kira jam 10 pagi dan menyambungnya semula kira-kira 2.45 petang selepas mahkamah berhenti rehat kira-kira sejam setengah, selesai menyoal balas saksi pada pukul 3 petang.

Timbalan Pendakwaraya, Raja Rozela Raja Toran, memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga pagi esok kerana pihak pendakwaan perlu menyemak terlebih dahulu keterangan saksi untuk menyoal balas saksi berkenaan.

Majistret Azman Mustapha membenarkan permohonan itu. Seramai 47 saksi dijangka dipanggil untuk perbicaraan kes berkenaan.