KWSP tiada kapasiti uruskan RHB, kata Khalid Ibrahim
Banyak pihak memandang berat kesan penguasaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas Bank RHB terhadap kebajikan kira-kira sembilan juta pencarumnya, kata Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Banyak pihak memandang berat kesan penguasaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas Bank RHB terhadap kebajikan kira-kira sembilan juta pencarumnya, kata Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Katanya, isu tersebut harus dilihat melalui aspek fungsi asal dan fungsi asas KWSP, pengalaman KWSP dalam industri pembankan, prinsip asas pelaburan dan dasar pembankan negara.
"Pertama, pembelian itu akan mengubah prinsip asal penubuhan KWSP sebagai pengurus dana yang perlu memastikan pulangan yang baik kepada pencarumnya dalam tempoh 25 hingga 30 tahun," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada tahun-tahun awal penubuhannya pada 1950-an, kata Khalid, KWSP dikehendaki melabur 70 peratus asetnya dalam sekuriti dan bon kerajaan. Ini dengan jelas mencerminkan keperluan lazim untuk KWSP bersikap konservatif dalam pelaburannya.
"Dari awal 1980-an dan seterusnya, bon-bon kerajaan telah dikurangkan apabila dasar pengswastaan diperkenalkan, dan ini memaksa KWSP untuk memindahkan pelaburannya kepada ekuiti. Meskipin begitu, ia kekal sebagai pelabur pasif.
"Pada 1990-an, pelaburan KWSP dalam bon kerajaan telah dikurangkan kepada kira-kira 30 peratus manakala pelaburan dalam ekuiti telah meningkat dari 2 peratus pada 1990 kepada 19 peratus pada 2005," katanya.
Pelaburan ekuiti
Khalid berkata, sebagai pengurus dana biasa, KWSP tidak seharusnya memilik lebih daripada 10 peratus dalam pelaburan ekuiti.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya bagi KWSP mengekalkan fungsinya sebagai pelabur semata-mata, dan tidak membabitkandiri dalam pengurusana mana-mana syarikat.
KWSP, kata Khalid, perlu mengekalkan sifat konservatifnya kerana ia merupakan dana modal berhemat masa panjang yang dipertanggungjawabkan terhadap kebajikan kira-kira sembilan juta pencarumnya.
Malah, katnya, pelaburan ekuiti oleh KWSP juga kerap menemui kegagalan kewangan atau menghadapi kesukaran pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Oleh itu, katanya, untuk menguasai sebuah kumpulan bank tanpa sebarang pengalaman pembankan adalah satu keputusan yang tidak lojik.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol sendiri, tegas Khalid, telah mengakui bahawa KWSP tidak mempunyai kepakaran dalam industri pembankan.
Hutang yang besar
Khalid juga merujuk kepada pembelian United Malayan Banking Corporation (UMBC) daripada Sime Darby pada 1995 yang terbukti telah menemui kegagalan.
Katanya, hutang yang ditanggung oleh UMBC kemudiannya dipindahkan kepada Sime Darby sebuah syarikat perladangan dan selepas itu ditanggung pula oleh kumpulan pembankan RHB selepas kedua-dua bank itu bergabung pada 1998.
"Hutang yang ditanggung oleh kumpulan pembankan RHB telah mencecah lebih RM3.4 bilion pada bulan Ogos 2006, dan ia hutang itu dianggap akan diambil alih oleh KWSP.
"Apa yang perlu ditekankan ialah walaupun KWSP boleh menguasai RHB melalui pemilikan ekuiti, tetapi KWSP tidak mempunyai kapasiti untuk mengurus sebuah kumpulan pembankan yang menanggung hutang yang besar," katanya.

