Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap perdana menteri serta barisan menteri yang bakal dilantik kelak memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

Presidennya, Adnan Mat, berkata campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik kelak benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat yang terbaik kepada jemaah menteri.

"Perkhidmatan awam sendiri ketika ini mempunyai pegawai yang berkelayakan dalam pelbagai bidang dan seharusnya diberi peluang mengikut pengalaman serta kompentensi masing-masing.

"Lantikan daripada luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Cuepacs menegaskan unsur-unsur "favouritism" hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten.

"Pegawai yang dilantik hanya disebabkan 'kegemaran' ahli politik tertentu dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan.

"Pada dasarnya Cuepacs tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan tetapi bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan dapat diteruskan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan yang dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam saja," katanya lagi.

Setakat ini, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim belum mengumumkan barisan Kabinet yang dijangka akan dianggotai wakil parti gabungan seperti BN, GPS dan GRS.