Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak menolak tawaran untuk menyertai kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) menyaksikan rupa bentuk kerajaan kini berubah menjadi 'grand coalition' atau permuafakatan besar yang memiliki majoriti dua pertiga.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan itu kini membabitkan gabungan Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa parti yang lain.

"Setakat hari ini, sebelum diabsahkan di Parlimen kelak melalui (usul) undi percaya, komposisi kerajaan dan pembangkang adalah 148 atau majoriti dua pertiga memihak kerajaan dan pembangkang, 73 kerusi.

"Belum tahu keputusan, satu (kerusi) di Parlimen Padang Serai. Jadi jumlah keseluruhan adalah 222 kerusi Parlimen.

"Dengan permuafakatan yang membentuk kerajaan yang kukuh dengan mencapai majoriti dua pertiga ini, diharapkan sebuah pentadbiran negara yang stabil dapat beroperasi demi mewujudkan keyakinan pelabur sekaligus mencapai kemakmuran yang didambakan rakyat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Asyraf yang juga adalah ketua Pemuda BN, adalah diharapkan pembangkang yang diterajui oleh PN juga dapat berperanan dengan lebih efektif sebagai agen semak dan imbang yang baik untuk perjalanan sistem demokrasi.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditunda kepada 7 Disember ini susulan kematian seorang calonnya yang disahkan bertanding kerusi itu ketika tempoh kempen.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong kini dianggotai PH dan sekutunya Muda yang menguasai 82 kerusi di Dewan Rakyat. Ia kemudiaanya disokong oleh BN yang mempunyai 30 kerusi dan GPS dengan 23 kerusi.

Turut menyatakan sokongan kepadanya adalah GRS yang mempunyai enam kerusi dan parti Warisan, serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang ahli parlimen bebas.

PN, yang dianggotai oleh Bersatu dan PAS mempunyai 73 kerusi parlimen.

Anwar pada Khamis lalu memaklumkan akan mengemukakan usul undi percaya terhadapnya di Parlimen, bagi menguji tahap sokongan yang diterima pada 19 November ini.