Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail nafi perbelanjaan RM620b ketika PKP, darurat tak direkodkan
Diterbitkan:  Nov 29, 2022 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan bahawa ada perbelanjaan berjumlah RM620 bilion yang tidak direkodkan Perbendaharaan, ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Ismail Sabri berkata semua perbelanjaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

"Berhubung komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 – 2022, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

"Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank)," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Katanya, perbelanjaan langsung yang dibuat kerajaan hanya berjumlah RM110 bilion dan ia diluluskan secara sebulat suara di Parlimen.

Dalam hantaran itu, Ismail Sabri turut menyertakan tangkap layar seorang individu yang membuat dakwaan berkenaan perbelanjaan yang tidak direkodkan itu, dan ia menjadi sebab kenapa Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin tidak ingin pihak lain menjadi perdana menteri.

Sementara itu, individu tersebut yang bernama Yusoff Bachek hari ini telah membuat permohonan maaf kepada Ismail Sabri dan Muhyiddin atas dakwaan itu.

Ia selepas seorang pengguna Twitter bertanya jika dia sanggup berdepan saman berhubung dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS