Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya dalam kongres nasional parti itu di Seremban Mei ini.

Dalam dalam temubual dengan khas malaysiakini semalam, Dr Syed Husin berkata beliau telah mengumumkan untuk bersara semasa kongres yang lalu, malah telahpun bercuti kira-kira enam bulan, dari Jun hingga Disember tahun lalu.

Bagaimanpun, katanya, terdapat tekanan dari dalam dan luar parti itu yang mahukan beliau bertanding (jawatan timbalan presiden).

"Mereka mempunyai sebab dan hujah yang kukuh yang sukar untuk saya tidak mempertimbangkannya," katanya.

Pertandingan bagi jawatan nombor dua parti itu menjadi tumpuan pemerhati politik ekoran kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden PKR kali ini, tetapi masih terikat dengan larangan Pendaftar Pertubuhan (ROS) daripada memegang jawatan awam sehingga April 2008.

Ada pihak yang berpendapat, sekiranya ROS menolak permohonan untuk membenarkan Anwar memegang jawatan presiden, maka salah satu pilihannya ialah untuk menamakan timbalannya sebagai pemangku presiden.

Setakat ini beberapa pemimpin telah dicalonkan oleh bahagian PKR yang sedang bermesyuarat sekarang, iaitu Naib Presiden Azmin Ali; Ketua Penerangan, Tian Chua dan bekas ketua Angkatan Muda, Mohd Ezam Mohd Nor.

Bagaimanapun, pertandingan sebenarnya adalah Syed Husin dan Azmin.

Syed Husin mendahului

Mengikut biro penerangan PKR, Syed Husin mendapat 16 pencalonan dan diikuti rapat di belakang oleh Azmin yang mendapat 14 pencalonan.

Angka tersebut berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh 33 daripada 167 bahagian PKR yang selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, angka tersebut dipertikai oleh sesetengah pihak yang mendakwa jumlah itu belum mengambil pencalonan bahagian dari Sabah dan Sarawak.

Mereka mendakwa, Azmin menerima tambahan empat lagi pencalonan.

Sehubungan itu, timbul desas-desus yang mengatakan Azmin yang merupakan 'protege' Anwar akan menarik diri dan dijangka membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

Bagaimanapun, malaysiakini gagal menghubungi Azmin sejak semalam.

Malaysiakini akan menyiarkan temubual eksklusif dengan Syed Husin Isnin ini. Antara lain, ahli politik yang kini berusia 70 tahun itu, bercakap mengenai hubungannya dengan Azmin, kesediaan untuk memimpin parti sebagai pemangku presiden jika timbul keperluan, serta pandangannya mengenai isu-isu semasa negara. Berita asal