PAS ada tawarkan jawatan menteri pada Wan Rosdy
Melantik Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri penuh di peringkat pusat adalah salah satu tawaran yang dibuat PAS kepada pemimpin BN Pahang itu dalam usaha mereka menyelesaikan kebuntuan kerajaan negeri baru-baru ini.
Menjelaskan apa yang berlaku selepas PRU ke-15 lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dengan andaian Perikatan Nasional mampu membentuk kerajaan persekutuan, mereka boleh melantik Wan Rosdy sebagai senator.
Selepas itu, katanya, bolehlah Adun Jelai terbabit diberikan jawatan dalam kabinet.
Satu lagi tawaran yang diberikan oleh PAS, kata Tuan Ibrahim, ialah mengekalkan Wan Rosdy sebagai menteri besar Pahang dengan komposisi 50-50 di antara BN dan PN.
Tawaran itu, katanya, diberikan kepada Wan Rosdy walaupun BN hanya memenangi 16 kerusi DUN berbanding PN yang ada 17 kerusi.
"Jawatan lain seperti speaker - oleh kerana beliau (Wan Rosdy) menteri besar - kita cadangkan supaya (diberikan) kepada PN, timbalan speaker daripada BN," katanya dalam laporan disiarkan harakahdaily.
Pahang berdepan dengan keadaan DUN tergantung selepas tiada mana-mana parti dapat menguasai majoriti mudah sehingga memerlukan sokongan daripada parti lain.

Hasil PRU ke-15 pada 19 Nov lalu, BN memenangi 16 kerusi, manakala PN 17 kerusi. Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lapan kerusi.
PN cuba mendapatkan kerajaan Pahang dengan bekerjasama dengan BN. Bagaimanapun BN akhirnya memilih untuk bersama dengan PH membentuk kerajaan negeri.
Sebelum ini PN menamakan Tuan Ibrahim sebagai calon menteri besar gabungan itu jika mereka berjaya mendapat majoriti.
Dalam PRU baru-baru ini, Tuan Ibrahim bertanding - dan menang di kawasan DUN Cheka.
Kerjasama itu juga menyaksikan PH memberi laluan kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil Tioman pada 9 Dis ini.
Tolak kerjasama dengan PN
Untuk rekod menjelang PRU ke-15 lalu PAS secara terbuka mengisytiharkan rancangan mereka mahu mengambil alih kerajaan Pahang walaupun parti itu masih 'diikat' dengan kerjasama melalui Muafakat Nasional.
Malah Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mengajak PH untuk menyertai gerakan tersebut.
Tuan Ibrahim berkata dalam pertemuannya dengan Wan Rosdy - dan turut disertai Naib Presiden PAS Idris Ahmad - mereka mencadangkan agar seorang Adun daripada PN dilantik sebagai timbalan menteri besar.
Bagi jawatan exco pula, kata bekas menteri alam sekitar dan air itu, lima akan diberikan kepada BN manakala lima yang lain untuk PN.
Disebabkan ada lima Adun yang boleh dilantik pula, Tuan Ibrahim berkata, PAS menyarankan tiga daripadanya diambil dari PN dan bakinya BN.
"Kami anggap ini adil kerana kedudukan kita hampir seimbang iaitu 16 dan 17 kerusi," katanya.
Pada masa sama, tambah Tuan Ibrahim, Wan Rosdy memaklumkan BN Pahang juga menerima tawaran daripada PH.
Tuan Ibrahim berkata, dia kemudian merujuk perkara tersebut kepada pemimpin atasan parti dan bersetuju membuat kompromi dengan terus menyokong Wan Rosdy sebagai menteri besar.

"Tetapi saya dimaklumkan bahawa mesyuarat Badan Perhubungan BN Pahang memutuskan bahawa BN kekal bersama dengan PH Pahang.
"Ini bermakna dia menolak kerjasama dengan PN," katanya yag turut menjelaskan bagaimana mereka dipanggil oleh pihak istana bagi mendengar pandangan mereka.
Apabila Wan Rosdy memaklumkan kepada istana yang BN memilih PH, kata Tuan Ibrahim, PN tidak ada pilihan kecuali akur saja.
Dalam pertemuan lanjutan dengan pihak istana, katanya, mereka dimaklumkan bahawa kalau pun Wan Rosdy mahu bersama dengan kerajaan negeri, hanya satu kerusi exco saja yang akan diberikan kepada mereka.
"Saya telah maklumkan kepada Tuanku bahawa kami menolaklah, sebab kami ada 17 (kerusi), PH ada lapan (kerusi) diberi dua exco.
"Jadi saya rasa ini sangat tidak adil dan kami buat keputusan bahawa kami kekal sebagai pembangkang di Pahang," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a460d49463f8741ca0eb708e16c15050.jpg)
