Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyusun 'kabinet bayangan' untuk berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia, demi menjamin kemaslahatan negara.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata demikian pada program bual bicara di Astro Awani malam tadi.

"Kita dalam usaha menyusun 'kabinet bayangan' atau kepakaran melalui kementerian-kementerian.

“Apatah lagi, kita pernah memimpin sebelum ini di bawah kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Khairil Nizam Khirudin

Khairil berkata PN juga boleh bersedia membantu dalam menggerakkan agenda transformasi parlimen dan mengetuai jawatankuasa terpilih, termasuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Kalau ditakdirkan ada badan atau jawatankuasa yang diperlukan untuk pembangkang menjadi ketuanya, mengapa tidak?

“Sebelum ini pun, PAC kita berikan kepada DAP untuk mengetuainya.

"Sewajarnya, segala fasiliti dan prasarana untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran ditetapkan kepada setiap jawatankuasa terbabit maka perkara itu akan diperkasakan oleh pihak kerajaan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Khairil dipilih sebagai ahli parlimen Jerantut pada pilihan raya umum 19 Nov lalu. Dia sebelum ini adalah ahli Dewan Negara.

‘Masalah jika kabinet kecil’

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata, bahawa saiz kabinet baru tidak boleh terlalu kecil supaya setiap kementerian tidak menanggung beban yang besar.

Isham Jalil

Dia mencadangkan supaya saiz yang wajar sekiranya langkah pengecilan kabinet diambil adalah 28 orang menteri daripada 31 orang sebelum ini.

Katanya, pengecilan kabinet bermaksud beberapa kementerian akan digabungkan, dan melihat keadaan itu akan memberi kesulitan dari segi pelaksanaan tugas oleh sesebuah kementerian yang akan bertanggungjawab terhadap bidang kuasa yang lebih banyak.

“Kalau kita banyak sangat bidang kuasa letak pada satu Menteri ekoran penggabungan kementerian, maka semak dan imbang itu tidak efisien dan menteri itu akan terbeban," katanya.

Atas sebab itu, katanya, saiz kabinet yang tidak boleh terlalu kecil, kerana ia tidak membawa manfaat yang begitu besar kepada penjimatan kos.

Ini kerana, menurut Isham, walaupun bilangan menteri dikurangkan, jumlah kakitangan awam dan aset-aset kerajaan tetap sama.

“Mungkin wang untuk menggaji menteri dapat dijimatkan, tapi kalau hanya seorang dua menteri dikurangkan dan gaji setiap menteri sekitar RM50,000, mungkin ia tidak begitu signifikan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan mengambil gaji dan berikrar untuk membentuk kabinet yang lebih kecil.

[Baca berita penuh]