Abim: Redakan suhu politik seperti titah Majlis Raja-Raja
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa orang ramai supaya meredakan suhu politik negara daripada menimbulkan keresahan rakyat selaras dengan titah Majlis Raja-Raja Melayu.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata, Majlis Raja-Raja Melayu mengigatkan supaya tiada lagi pemimpin membangkitkan isu perkauman serta agama yang bertujuan untuk menghasut masyarakat.
"Berdasarkan pada titah tersebut, Abim menggesa semua pihak harus bertanggungjawab untuk sama-sama meredakan suhu politik negara khususnya bersabit kerenggangan agama dan kaum yang telah menimbulkan kegelisahan seluruh rakyat Malaysia semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.
"Abim menegaskan amanah untuk merintis kembali keharmonian masyarakat terletak di bahu kerajaan perpaduan Malaysia. Ini antaranya dengan menetapkan penambahbaikan indeks prestasi utama dalam portfolio serta kementerian berkaitan perpaduan dan integrasi nasional.
"Penubuhan kerajaan perpaduan ini adalah peluang untuk kita mengembalikan politik nilai dgn menolak kelakuan menunggang sentimen agama dan kaum secara sempit sehingga meruntuhkan kemakmuran masyarakat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Majlis Raja-Raja Melayu menggesa kerajaan baru untuk menyemai "semangat kebersamaan" dalam kalangan rakyat Malaysia.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah demikian selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260.
"Beta berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.
"Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih," titah baginda.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal merujuk kepada kenyataan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali yang melaporkan pada sebanyak 515 kertas siasatan telah dibuka daripada 3,483 laporan diterima sejak 4 Nov sehingga 21 Nov lalu.
Laporan serta kertas siasatan itu membabitkan kes berkaitan Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta Seksyen 4(A), Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.
Dalam pada itu, Abim berpandangan bahawa api perkauman dan hasutan yang dinyalakan boleh membawa kepada keganasan.
"Sebaliknya, identiti tidak seharusnya digunakan untuk menyalakan api perkauman secara destruktif yang disulami hasutan dan fitnah yang membawa kepada kebencian dan dikhuatiri menjurus ke arah keganasan.
"Justeru, Abim menggesa seluruh pihak khususnya pemimpin politik supaya tidak mengheret masyarakat terjerumus ke kancah perpecahan semata untuk meraih sokongan, sebaliknya bersama meletakkan agenda pembinaan negara di hadapan," katanya lagi.
/file/985/82dd631324aa3b368a8d67034b2c8949.jpg)
