Barisan exco Pahang dijangka mengangkat sumpah pada 2.30 petang esok di Istana Abu Bakar di Pekan.

Berita Harian melaporkan lapan Adun daripada BN dan dua Adun Pakatan Harapan (PH) akan dilantik sebagai exco negeri.

Adun Jelai Wan Rosdy Wan Ismail sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang Isnin lepas, berikutan pembubaran DUN pada 14 Okt lepas.

Susulan itu, BN Pahang mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan negeri dengan PH selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan DUN Pahang tergantung buat pertama kali kerana tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Pada PRU15, BN memenangi 16 kerusi DUN, PN 17 kerusi manakala PH memenangi lapan kerusi.

Terdapat sejumlah 42 kerusi di DUN Pahang.

Bagaimanapun, pengundian kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi pada hari pengundian pada 19 Nov, dipercayai akibat serangan jantung.

PH memberi laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi DUN Tioman, meski nama calon mereka tetap dicetak pada kertas undi.

Wan Rosdy, yang merupakan pengerusi BN Pahang berkata keputusan untuk bekerjasama dalam "kerajaan perpaduan" dengan PH adalah untuk memastikan kestabilan politik negara.