Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow mengakui bahawa beliau adakalanya menghubungi pihak media untuk memberi peringatan agar tidak membuat liputan mengenai isu sensitif.

Katanya, beliau berbuat demikian selaku menteri yang dipertanggungjawabkan menerusi Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984.

"Adakalanya jika terdapat isu sensitif di kalangan media, saya terpaksa hubungi sebagai peringatan agar tidak membuat liputan isu sensitif.

"Tidak dinafikan ada yang menerimanya dengan baik dan ada yang anggap saya sebagai "super editor media"," katanya di majlis makan malam bersama media Pahang di Kuantan malam tadi.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, persaingan hebat untuk mendapatkan bahan berita perlu berasaskan kepada garispanduan yang telah ditetapkan bagi mengelak membangkitkan isu sensitif.

Gambaran sebenar

Menurutnya, walaupun wujud persaingan, khususnya di internet, namun pihak media arus perdana perlu memainkan peranan memberikan gambaran sebenar yang lebih tepat kepada masyarakat.

Katanya, pihak media perlu mematuhi Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984 serta mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.

Fu berkata pemberitaan yang seimbang perlu lakukan oleh semua pengamal media berbanding internet yang sememangnya tidak mempunyai garispanduan tertentu.

"Saya harap hubungan baik antara kerajaan dan media akan berterusan demi kemajuan bersama... saya juga sedia menerima teguran, komen daripada media dan rakyat terutama komen yang membina dan telus," katanya.

Beliau berkata, liputan media cetak dan elektronik juga membolehkan sesuatu mesej dapat disampaikan kepada masyarakat bagi memperbaiki kelemahan perkhidmatan sedia ada.