Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS nafi keluar kenyataan arah pindah pengundi
Diterbitkan:  Dec 1, 2022 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

PAS menafikan mengeluarkan kenyataan menggesa majlis tindakan DUN Kelantan dan Terengganu menggesa pengundi luar negeri dan ahli parti yang bekerja di pantai barat supaya segera menukar kawasan mengundi.

Kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengatakan langkah ini untuk meningkatkan peluang PAS dan PN memenangi pilihan raya negeri Selangor dan Negeri Sembilan pada tahun depan.

"Keperluan ini sangat dituntut kerana negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan telah menjadi kawasan tumpuan PAS untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negeri tersebut.

"Dengan ini PAS Pusat mengharapkan tindakan segera diambil oleh semua MTD untuk mengambil tanggungjawab untuk memindahkan semua pengundi luar agar dapat memenuhi hasrat parti," kata kenyataan palsu yang dikatakan bertarikh 30 Nov itu.

Bagaimanapun, PAS melalui laman rasminya di Facebook menyifatkan kenyataan itu sebagai "palsu."

PAS memenangi 49 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-15, di bawah gabungan PN - menguasai majoriti negeri di pantai timur Semenanjung.

PAS dan PH memilih untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri secara serentak pada PRU15 lalu.

Justeru, pilihan raya DUN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan bakal berlangsung pada tahun depan.

PAS memerintah Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala PH menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Penggal lima tahun bagi enam DUN ini akan berakhir pada Mei 2023.

Lihat Komen
ADS