MTUC: Syarat wajib perolehan melalui tender perlu diluas ke GLC, GLIC
Ikrar Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa "tiada lagi perolehan tanpa tender" mesti diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor, berkata pembaharuan yang dilakukan perdana menteri itu adalah suatu langkah baik bagi membendung ketirisan.
"MTUC menyambut baik reformasi pertadbiran kerajaan seperti perolehan mesti melalui proses tender.
"Keputusan ini adalah langkah proaktif bagi mengawal ketirisan dan mencegah kemungkinan gejala rasuah di semua peringkat," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, MTUC yakin reformasi yang dilakukan oleh perdana menteri adalah perlu bagi mengelakkan pembaziran dana awam.
"Langkah reformasi akan memberi mesej kepada pelabur bahawa negara Malaysia sedang berubah ke arah negara yang lebih baik.
"MTUC menggesa perdana menteri mengarahkan GLC dan GLIC membuat reformasi seperti mana kerajaan.
"Pemberian kontrak secara terus yang diamalkan oleh GLC/GLIC atas alasan bahawa pembelian adalah terdesak, syarikat pembekal adalah terhad dan pelbagai alasan perlu dihentikan serta-merta," katanya lagi.
Selain itu, Kamarul turut menggesa kerajaan supaya memastikan GLC dan GLIC memberikan gaji yang berpatutan kepada pekerja.
Jurang gaji juga katanya perlu dirapatkan dengan memperbaharui pentadbiran GLC, GLIC.
Tambahnya, jurang gaji antara pengurusan sangat besar sehingga 20 kali ganda dengan pekerja bawahan.
Ini terutamanya bagi mereka yang mempunyai jawatan ketua pegawai eksekutif yang berkhidmat dalam agensi GLC, GLIC untuk tempoh masa yang lama dan mengendalikan dana yang besar.
"Tempoh pelantikan CEO GLC/GLIC perlu dihadkan kepada maksimun lapan tahun untuk mengekalkan tadbir urus yang baik.
"Langkah ini bertujuan membendung kemungkinan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa yang akan memberi kesan pada pencarum," katanya.
Pada 29 Nov, Anwar berikrar bahawa kelulusan bagi perolehan kerajaan di bawah kepimpinannya tidak boleh lagi dijalankan tanpa tender.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/d6f2c339f862e23245d60061ae523560.jpg)
