Zam: PAS dan DAP mungkin kerjasama di Machap
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin yakin PAS akan memulaukan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Melaka, tetapi tidak menolak kemungkinan PAS akan bekerjasama dengan DAP di situ.
PAS, katanya, mengambil tindakan yang bijak jika tidak bertanding di Machap kerana parti itu, menurutnya, tidak lagi relevan dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sebelum ini, PAS memulaukan pilihanraya kecil Batu Talam, Pahang. Ekoran itu, calon Barisan Nasional (BN) hanya berdepan dengan cabaran calon bebas, dan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih besar.
Menurut laporan Bernama , pilihanraya kecil akan diadakan berikutan kematian Adun Machap, Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, yang juga pengerusi MCA Melaka, Khamis lalu akibat penyakit buah pinggang.
Dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan calon DAP, Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya tidak akan memboikot pilihanraya kecil yang diadakan di kawasan yang pernah ditandingi parti itu.
Bercakap kepada pemberita di Sungai Petani hari ini, Zainuddin yakin PAS akan memboikot pilihanraya kecil berkenaan kerana ia tidak akan menang di Melaka.
'Masih bermimpi'
"Di Kelantan pemimpin PAS masih boleh bermimpi menguasai negeri itu dan kita tidak boleh menghalang mereka terus bermimpi umpamanya untuk menawan kembali Terengganu selepas negeri itu dirampas BN (Barisan Nasional) dalam pilihanraya umum lalu.
"Mereka boleh bermimpi yang indah-indah. Itu sahaja yang mampu mereka buat kerana tidak dapat menyesuaikan diri dalam arus perdana," tambahnya.
Sementara itu,
Bernama
juga melaporkan, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata Umno telah menyiapkan jentera pilihanrayanya untuk berkempen bagi menghadapi pilihanraya kecil di Machap, Melaka.
Beliau yakin BN akan menang kerana kerajaan yang dipimpin BN telah melakukan segala-galanya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
"Cuba tengok Melaka, masuk saja ke Ayer Keroh ini, ia punya pembangunan cukup hebat, kalau tengok sesetengah negara luar tidak macam ini...," katanya di Melaka hari ini.
Muhammad berkata, rakyat memang menyokong kerajaan BN sejak 1957 dan tidak putus-putus hingga kini disebabkan hasil daripada usaha yang dibuat oleh BN.
Kestabilan politik
Beliau berkata, sama ada pembangkang bertanding atau memboikot pilihanraya kecil itu, Umno dan BN akan terus membuat persiapan semantap-mantapnya.
"Pembangkang telah boikot pilihanraya kecil Batu Talam, saya tak tahu kalau dia (pembangkang) berpegang balik kepada apa yang dibuat di Batu Talam, kalau dia sudah belot kepada prinsip dia itu, saya tidak tahu, terpulang kepada mereka," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang, Muhammad berkata jenteranya sentiasa turun padang untuk memberi penerangan mengenai isu-isu semasa yang sering dibangkitkan oleh pembangkang dan menyampaikan mesej yang hendak disampaikan oleh pucuk pimpinan.
"Kalau tengok kejayaan negara, keamanan negara, kestabilan politik, ekonomi yang baik, infrastruktur yang baik, saya ingat kita adalah terbaik berbanding dengan mana-mana negara.
"Ini hendaklah diberi tahu kepada pemimpin akar umbi, kejayaan yang telah dibawa oleh kerajaan BN selama 50 tahun, tidak ada tolok bandingnya dengan negara di seluruh dunia," katanya.