Isu timbalan KP DBP dirujuk pada jabatan perhubungan perusahaan
Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah merujuk isu pelantikan timbalan ketua pengarah DBP yang baru, Kamarulzaman Shaharudin kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia.
Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah merujuk isu pelantikan timbalan ketua pengarah DBP yang baru, Kamarulzaman Shaharudin kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia.
Yang Dipertua Kesatuan Pekerja DBP, Hasni Abas berkata, pihaknya menghantar surat tersebut kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Md Yunus Razaly Rabu lalu.
Katanya, dalam surat tersebut, kesatuan itu mahu Jabatan Perhubungan Perusahaan membatalkan pelantikan Kamarulzaman sebagai timbalan ketua pengarah DBP.
DBP telah melantik Kamarulzaman awal Januari lalu bagi menggantikan Abu Bakar Mohamad yang bersara Disember lalu.
Yunus, kata Hasni, akan mengkaji tuntutan tersebut dan mendapatkan penjelasan dari pengurusan DBP.
Katanya, jika Jabatan Perhubungan Perusahaan gagal menyelesaikan krisis tersebut, isu tersebut akan dibawa ke Mahkamah Perusahaan.
Difahamkan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah telah memberi penerangan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan di Putrajaya kelmarin.
Surat tunjuk sebab
Hasni berkata, sebelum itu pihaknya terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan jabatan tersebut dan mereka memberitahu ia mempunyai 'locus standi'.
Isu perlantikan Kamaruzaman sebagai timbalan ketua pengarah baru DBP dibantah keras oleh kesatuan kakitangannya yang mendakwa ia tidak dibuat mengikut peraturan.
Hasni berkata, Kamarulzaman merupakan kakitangan Kumpulan N, iaitu dari bahagian pentadbiran dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kesusasteraan dan penulisan.
"Sedangkan syarat untuk menjadi ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah DBP ialah mesti dari Kumpulan S, iaitu dari bahagian kesusasteraan," katanya..
Berikutan itu, ahli kesatuan pekerja telah mengadakan piket selama empat hari berturut-turut mulai 12 hingga 15 Februari lalu.
Isnin lalu, pihak pengurusan DBP telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 71 kakitangannya yang menyertai piket tersebut.
Mereka diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab tersebut atau dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat.

