Pengundi awal DUN Tioman tunaikan tanggungjawab
Kira-kira 200 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang layak mengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin tepat jam 8 pagi tadi.
Mereka adalah antara 243 pegawai dan anggota yang tersenarai dalam daftar pemilih diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk kerusi N42 Tioman.
Seorang anggota dari Cawangan Pengangkutan IPD Rompin, Mohd Hafizul Naim Abdul Rahman, ketika ditemui selepas selesai mengundi berkata, dia mengambil peluang untuk keluar lebih awal untuk meneruskan penugasan harian lain.
"Untuk memudahkan urusan untuk mempercepatkan proses pengundian, jadi kami diarahkan untuk keluar lebih awal lagi, lepas ini kami kita boleh menjalankan tugas lain," katanya.
Sementara itu, seorang pegawai di IPD Rompin, Insp Wan Nur Afiqah Wan Aziz mengakui proses pengundian dijalankan hari ini lebih tersusun dan teratur berbanding hari pengundian umum pada 19 Nov lalu.
"Hari ini saya telah (selesai) mengundi untuk kali kedua, pada kali pertama hari tu dah mengundi (untuk memilih ahli parlimen Rompin) dan hari ini saya mengundi untuk kali kedua (peringkat DUN), kali ni lebih rapi dan tersusun," katanya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Mohd Azahari Mukhtar, berkata semua pegawai dan anggota polis bertugas di IPD Rompin bersemangat untuk mengundi kali kedua hari ini, walaupun sudah mengundi sebelum ini.
"Saya tengok reaksi mereka ceria dan teruja dan masing-masing teruja untuk menjalankan tugas ini (mengundi awal) dan polis pun buat persiapan awal," katanya.
SPR sebelum ini memaklumkan sejumlah 243 pegawai dan anggota polis akan mengundi awal di dua lokasi iaitu bilik rehat IPD Rompin dan bilik maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman antara jam 8 pagi hingga 5 petang.
Pilihan raya DUN Tioman menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada BN, Mohd Johari Hussain; Sulaiman Bakar (bebas); Osman Bakar (Pejuang); Nor Idayu Hashim (PN) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).
Hari mengundi pula ditetapkan pada 7 Disember ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/7edb92904f6b579515f359857473448d.jpg)
