Tengku Zafrul dilantik sebagai senator buat penggal kedua
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata dia akan menjalankan tugas sebagai senator dengan penuh amanah dan integriti.
Katanya dia akan turut memastikan suara rakyat terus diangkat di Dewan Negara demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran semua kaum, agama dan bangsa.
“Hari ini, saya telah diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
“Ini adalah tanggungjawab yang besar, terutamanya ketika Malaysia perlu meneruskan momentum pemulihan kita pasca-Covid-19,” katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.
Tengku Zafrul turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas tanggungjawab berat yang diberikan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan parti,” katanya.
Bekas Menteri Kewangan itu dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Anwar yang juga perdana menteri ketiga yang menamakan dia dalam barisan kabinet selepas Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul menggantikan Mohamed Azmin Ali yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/dc8e1f4c6a4b1c6a02ea48033bf99fe4.jpg)
