Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 pelajar ditahan bergaduh sebab campak duit di kantin
Diterbitkan:  Dec 3, 2022 12:56 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Perselisihan faham gara-gara melemparkan duit ketika membeli minuman di kantin semasa waktu rehat membawa kepada pergaduhan menyebabkan dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Kajang cedera, semalam.

Susulan itu, empat remaja lelaki berumur antara 15 hingga 16 tahun ditahan polis kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis juga mengesan kejadian itu tular dalam media sosial semalam dan pergaduhan berkenaan berlaku di dua lokasi berlainan berhampiran sebuah sekolah.

Katanya polis menerima laporan kes berkenaan daripada seorang pelajar berusia 16 tahun semalam yang menyatakan dirinya bersama seorang lagi rakannya telah dipukul sekumpulan pelajar sekolah.

“Punca kejadian disebabkan rentetan perselisihan faham di dalam sekolah (pada Rabu) apabila pengadu salah faham dengan rakan suspek kerana disyaki melemparkan duit semasa membeli minuman di kantin pada waktu rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak bertumbuk akibat tidak berpuas hati dan suspek bertindak meminta bantuan daripada rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam.

“Pemeriksaan ke atas pengadu dan mangsa mendapati kedua-duanya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan badan. Kesemua tangkapan merupakan remaja bawah umur yang bersekolah di sekolah yang sama dengan pengadu.

“Polis akan memohon reman kesemua suspek di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini. Pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Insp K. Suresh menerusi talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS