Wan: PDRM lepasi piawaian Interpol selesai kes jenayah
Kadar penyelesaian kes jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 36.89 peratus tahun lalu berjaya melepasi piawaian Polis Antarabangsa (Interpol) selama dua tahun berturut-turut, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee.
Kadar penyelesaian kes jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 36.89 peratus tahun lalu berjaya melepasi piawaian Polis Antarabangsa (Interpol) selama dua tahun berturut-turut, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee.
Ini, tambahnya, menunjukkan PDRM sentiasa dinamik dan komited dalam menyelesaikan kes.
Menurutnya, pengiktirafan itu diberi oleh Interpol pada tahun 2005 dan tahun lalu setelah PDRM berjaya melepasi tahap kadar penyelesaian kes yang ditetapkan oleh Interpol iaitu sebanyak 20 peratus.
"Tahun lalu, kita berjaya menyelesaikan 73,281 kes jenayah daripada
198,622 kes yang direkodkan. Piawaian Interpol ialah sesebuah negara itu
mesti mempunyai kadar penyelesaian kes jenayah sebanyak 20 peratus.
"Ini adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan dan saya secara
peribadi percaya PDRM dapat buat lebih baik daripada ini pada masa akan
datang. Saya selalu sasar untuk capai 100 peratus dan kita akan lakukan
sebaik termampu," katanya dalam satu temubual dengan Bernama.
Katanya, pada 2005, PDRM berjaya mencapai kadar penyelesaian kes jenayah sebanyak 48.45 peratus atau 76,284 kes jenayah daripada 157,459 kes yang direkodkan.
"Ada empat kriteria yang digunapakai Interpol dalam menentukan sesuatu kes itu selesai. Pertama, jika ada pengakuan atau keterangan kukuh terhadap tertuduh; keduanya, tertuduh dapat ditangkap semasa melakukan jenayah walaupun tidak mengaku salah," katanya.
Kriteria Interpol
Kriteria seterusnya, katanya, ialah tertuduh dicam tidak kira sama ada tertuduh berada dalam tahanan, bebas atau mati dan yang terakhir ialah tiada kesalahan berlaku setelah penyiasatan dijalankan.
Ketika diminta mengulas perspektif negatif orang ramai terhadap PDRM yang dikatakan tidak berjaya menyelesaikan kes-kes jenayah berat, Wan berkata dakwaan sedemikian adalah tidak tepat.
"Siapa cakap yang PDRM tak buat kerja. Bila ada kes jenayah berlaku, anggota kita ada yang tak tidur 24 jam semata-mata menyelesaikan kes. Tetapi harus difahami bahawa dalam penyelesaian sesebuah kes, penunjuk atau 'lead' perlu ada. Masalahnya bila kita minta saksi tampil bantu, mereka takut. Saya beri jaminan polis akan memberi perlindungan kepada mereka.
"Tetapi dengan adanya bantuan unit Crime Scene Investigation (CSI) (penyiasatan di tempat kejadian) yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi dan adanya pegawai-pegawai profesional dalam tugas penyiasatan, ia sebenarnya membantu meningkatkan kualiti penyiasatan dan meningkatkan jumlah kes jenayah dapat diselesaikan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa tiada tempoh masa tertentu dalam penyelesaian sesuatu kes jenayah tetapi yang penting ialah bagaimana unit jenayah yang terbabit bekerjasama sebagai satu pasukan.
Pada pandangan beliau pasukan atau unit siasatan jenayah yang Berjaya ialah yang mempunyai kekuatan daripada segi perisikan, forensik, teknikal dan soal siasat.
"Saya ingin melihat imej unit siasatan jenayah PDRM sentiasa bersinar," katanya.

