Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Sivarraajh layak dapat tempat dalam k'jaan

Calon BN Parlimen Padang Serai C Sivarraajh akan dipertimbang untuk diberikan peranan yang sesuai dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata Sivarraajh sebelum ini bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi PRU15 di kawasan itu, 7 Dis ini.

"Penarikan diri Sivarraajh (daripada bertanding dalam PRU15 Padang Serai) dibuat tanpa syarat. Tapi saya yakin sebagai tokoh muda sudah tentu saudara Sivarraajh ini layak untuk mendapat tempat.

“Dalam sebuah kerajaan baru seperti ini tentu sahaja tokoh-tokoh muda sebegini akan ada tempat selayaknya yang akan kita pertimbangkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah mega PH di Kulim, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Sivarraajh dan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak.

Mengulas mengenai penarikan diri Sivarraajh daripada pilihan raya itu, Saifuddin Nasution berkata ia dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC TSA Vigneswaran dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, antara asas yang dikemukakan PH untuk penarikan diri calon BN itu adalah keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya DUN Tioman, Pahang.

"Jadi dalam semangat kerajaan gabungan yang ada dalam kedua-dua blok ini di Tioman PH tarik diri, (manakala) di Padang Serai ini Sivarraajh tarik diri dan saya tegaskan berulang kali tanpa syarat apa-apa, seperti mana penarikan di Tioman dibuat tanpa syarat," katanya.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Kedah Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa calon BN memberi laluan kepada calon PH untuk PRU15 Padang Serai 7 Dis ini.

Mengulas mengenai tindakan Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan yang dipertikai banyak pihak, Saifuddin Nasution yang juga menteri dalam negeri berkata nama-nama dicadang dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibuat mengikut proses serta mengambil kira semua perkara.

"Satu keputusan sudah tentu mengundang pro dan kontra...kita yakin dengan pengalamannya dia (Anwar) mampu untuk memimpin kementerian yang penting ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS