Umno Kedah yakin jumlah kerusi milik PAS di negeri itu akan berkurangan dalam pilihanraya umum kelak dan majoriti kerusi yang dimenangi Umno pula akan bertambah.

Pada pilihanraya umum 2004, PAS memenangi lima daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu daripada 15 kerusi Parlimen.

Keyakinan itu dilahirkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berasaskan kepada pemantauan Umno Kedah yang didakwanya mendapati PAS semakin lemah dan hilang sokongan rakyat.

Menurut Bernama, Mahdzir berkata, Umno negeri tidak perlu bimbang dengan cabaran parti pembangkang itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, berkata pemantauan Umno mendapati PAS Kedah kini semakin lesu, termasuk dari segi penganjuran aktiviti.

"PAS boleh lupakan hasrat menawan Kedah kerana mereka semakin lemah, jikalau dulu PAS dianggap kuat di Kedah tetapi sekarang mereka sudah tidak bermaya," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kedah di Alor Star malam tadi, beliau berkata, walaupun menyedari PAS semakin lemah, Umno Kedah tidak memandang ringan pilihanraya umum akan datang.

"Arahan telah dikeluarkan supaya jentera parti di setiap peringkat diperkemaskan dan diperbanyakkan aktiviti bagi mendekati pengundi," katanya.