• Dikemas kini dengan berita penuh.

Sebuah kumpulan pemikir menyelar tindakan Terengganu mengharamkan kehamilan dan kelahiran anak luar nikah kerana ia boleh memaksa ke arah pengguguran bayi secara tidak selamat.

Galen Centre berkata tindakan itu sekali gus melemahkan sistem kesihatan dan perlindungan terhadap hak-hak wanita untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Undang-undang sebegini berpotenti meletakkan pekerja kesihatan kita dalam keadaan sukar dan mustahil. 

“Sumpah first do no harm (tidak memudarat) telah menjadi kod tatakelakuan semua pekerja profesional kesihatan,” kata Ketua pegawai eksekutif organisasi itu Azrul Mohd Khalib.

Khamis lepas, Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022.

Antara pindaan yang dipertikaikan ialah tambahan Seksyen 29A yang mengharamkan tindakan hamil atau melahirkan anak luar nikah.

Kumpulan pemikir itu berkata wanita atau gadis terlibat mungkin bimbang melaporkan kehamilan kerana bimbang tindakan pihak berkuasa.

“Adakah wanita dan gadis merasakan kemudahan penjagaan kesihatan seperti klinik wanita bukan lagi tempat selamat kerana rawatan dan penjagaan mereka boleh digunakan sebagai bukti tindakan dikenakan terhadap mereka?

“Adakah akses kepada kawalan kelahiran akan terjejas? Adakah persekitaran akan menjadi begitu ketat sehingga wanita dan gadis terdorong untuk melakukan pengguguran yang berisiko? 

“Bagaimana jika kehamilannya menjadi mengancam nyawa dan ia menjadi pilihan antara didakwa selepas mendapatkan rawatan atau mempertaruhkan nyawanya?" soal Azrul

[Baca berita asal]