Kestabilan politik dan kemakmuran berterusan negara akan dikecapi sekiranya jajaran politik perpaduan Umno- Pakatan Harapan (PH) dapat direalisasikan, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed.

Menurunya, dasar Umno yang tidak ekstrem seperti PAS akan membolehkan ia disesuaikan dengan dasar PH yang sentiasa mengamalkan konsep politik terbuka.

"Oleh itu, untuk perjalanan menuju pilihan raya umum ke-16 (PRU16) nanti, Umno dan PH boleh mula untuk membina rasa percaya dan rasa hormat antara satu sama lain supaya satu jajaran politik perpaduan antara mereka dapat diusahakan.

"Bagi saya, baik Umno mahupun PH masing-masing ada kelemahan dan kelebihan tersendiri.

"Yang tinggal cuma macam mana kita mahu mencari titik persamaan untuk dijadikan satu kelebihan bagi berdepan cabaran masa depan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Nur Jazlan berkata, dalam keadaan sekarang PH juga seharusnya sedar keperluan untuk bersama Umno dalam menubuhkan kerajaan kerana tanpa persetujuan dan sikap berjiwa besar pemimpin Umno tidak mungkin akan ada kerajaan seperti hari ini.

Mengulas lanjut, dia berkata, Umno mampu bangkit kembali dalam tempoh lima tahun lagi dan orang Melayu akan kembali menyokong parti itu selepas pelbagai baik pulih dilakukan.

"Bila Umno kembali kuat, PH terutamanya DAP pastinya nampak kepentingan untuk terus bersama Umno bagi memastikan undi orang Melayu tak berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

"Begitu juga dengan Umno, mereka pastinya sedar jika persefahaman hari ini bersama PH tak diteruskan, BN tak mampu untuk mendapat undi Cina kerana secara faktanya undi mereka sudah lari kepada DAP," katanya.

Namun Nur Jazlan, berkata sekiranya BN atau Umno masih mahu memikirkan jajaran politik hanya berasaskan Melayu bersama PN, tidak mustahil pada PRU16 nanti keadaan keputusannya sama macam PRU15.

Pada PRU15 lalu, BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

PH mendapat pula mendapat 82 kerusi manakala gabung PN yang diterajui Bersatu dan PAS memenangi 73 kerusi. Kedudukan itu menyaksikan parlimen yang tergantung.

"Tapi PKR dan DAP kena hentikan amalan berpuluh tahun mengata semua orang Umno korup dan makan rasuah. Macamlah mereka pun tak ada pemimpin bermasalah yang sama.

"Rakyat pula kenalah sedar cakap pemimpin dari Bersatu mengenai semua orang Umno adalah kleptokrat, kerana Bersatu pun kena cermin diri sendiri," katanya.