Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik dan sesuai untuk dijadikan pusat asrama pekerja asing (PAPA) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata buat masa ini kerajaan negeri menerusi Majlis Pembandaran Kajang telah meluluskan pelan kebenaran merancang, pelan infrasturktur dan pelan bangunan bagi projek PAPA di kawasan perindustrian Kampung Baru Balakong, Cheras.
“Selain itu, kerja-kerja awalan di tapak itu juga telah dijalankan seperti pembersihan dan pembinaan papan tanda projek,” katanya bagi menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang ingin tahu perkembangan terkini projek PAPA, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Ng juga memaklumkan rumah kediaman dan taman perumahan di negeri itu tidak dibenarkan untuk dijadikan asrama pekerja asing.
“Kawasan kediaman memang tidak dibenarkan. Kita hanya benarkan kawasan komersial tertentu ditukar menjadi asrama pekerja asing dan tapak tertentu yang sesuai dijadikan asrama,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) yang ingin tahu sama ada rumah kediaman dan taman perumahan dibenarkan untuk dijadikan asrama pekerja asing kerana perkara tersebut berlaku di Meru.
- Bernama
