Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam usaha yang sedang dibuat untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.

Bercakap kepada pemberita, ahli parlimen Marang berkata pendekatan tersebut  diambil bagi melihat sejauh mana pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat menerajui kerajaannya.

“Kita lihat kepada perkembangan semasa apakah tindakan kerajaan. Kita tunggu apa reaksi rakyat terhadap kerajaan yang ada hari ini.

“Kerajaan yang saya lihat, nak beri nama apa tak tahu,” katanya sinis kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul, hari ini.

Shahidan Kassim

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim bahawa terdapat usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan.

Dalam sidang media selepas kempen PN di Padang Serai, Kedah semalam, Shahidan memberi gambaran kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

Bagaimanapun, ketika disoal balas sama ada wujud usaha PN untuk menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat.

“Sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang. Pengaruh yang kita ada sekarang ini kita lanjutkan lagi,” katanya.

Kerajaan yang dipimpin Anwar pada masa ini terdiri daripada gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pihak lain.

Berdasarkan kiraan, sehingga kini 148 ahli parlimen menyokong kerajaan pimpinan Anwar, bermakna dia mendapat sokongan daripada dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Sementara itu, diminta mengulas tarikh pilihan raya negeri di negeri-negeri yang ditadbir PAS, Abdul Hadi berkata semua urusan tersebut diserahkan kepada menteri besar di setiap negeri terlibat.