Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Loke bersesak dalam LRT ketika waktu puncak
Diterbitkan:  Dec 5, 2022 9:38 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Anthony Loke menggunakan hari pertamanya kembali bertugas sebagai menteri pengangkutan untuk menaiki LRT ketika waktu puncak, hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, dia berkongsi gambarnya, yang hampir saja tidak dapat dicam kerana memakai topi dan pelitup muka, menaiki LRT yang sesak.

"Petang tadi, saya meluangkan masa dua jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya semasa waktu puncak, antara pukul lima hingga tujuh petang.

"Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

"Saya tidak maklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan media kerana saya nak alami sendiri keadaan sebenar, seperti penumpang biasa, untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Ng memberitahu Malaysiakini bahawa dia melihat Loke di stesen LRT Bangsar pada jam 5.30 petang tadi, dan hanya diiringi dua atau tiga pengiring yang berpakaian biasa.

Loke pertama kali menjadi menteri pengangkutan pada 2018 di bawah pentadbiran PH selepas PRU 2018.

Ketika itu, dia juga pernah membuat tinjauan mengejut dan menyatakan komitmen untuk selalu menggunakan pengangkutan awam apabila keadaan membenarkan.

Loke yang juga setiausaha agung DAP berkata lagi, tinjauan hari ini membolehkannya memahami kesulitan yang dihadapi pengguna LRT.

"Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan hala tuju dan cara menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam kita," katanya lagi.

LRT aliran Kelana Jaya, yang merupakan aliran yang paling banyak digunakan, sering mengalami masalah, dan pada bulan lalu 16 stesen aliran itu digantung operasi selama lima hari.

Menurut Prasana, langkah itu terpaksa dilakukan ekoran kerosakan berulang dalam sistem isyarat yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Lihat Komen
ADS