Syed Husin: Saya tidak akan bertanding dalam praya umum
Beliau adalah seorang tahanan yang tidak pernah mengkhianati kepercayaannya walaupun diumpan dengan kebebasan. Akibatnya, Dr Syed Husin ditahan tanpa bicara selama enam tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau adalah seorang tahanan yang tidak pernah mengkhianati kepercayaannya walaupun diumpan dengan kebebasan. Akibatnya, Dr Syed Husin ditahan tanpa bicara selama enam tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau ditahan pada 1974 selepas menyertai tunjuk perasaan mengenai masyarakat petani di Baling yang hidup dalam kemiskinan. Ketika itu, beliau merupakan profesor madya Sosiologi dan antropoligi di Universiti Malaya.
Sepuluh tahun selepas dibebaskan, Dr Syed Husin meninggal bidang akademik dan melangkah ke arena politik apabila dipilih menjadi presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Hari ini, beliau bersama pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana bekas pelajarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjadi penasihat parti itu yang berjuang menentang parti pemerintah, Barisan Nasional yang ramai pemimpin utamanya juga merupakan bekas pelajar beliau.
Dr Syed Husin yang kini berusia 70 tahun adalah timbalan presiden PKR, selepas penggabungan antara Parti Keadilan dan PRM..
Walaupun sebelum ini Dr Syed Husin telah menyuarakan hasratnya untuk bersara daripada politik, tetapi beliau telah didesak oleh beberapa pihak supaya meneruskan pembabitannya dalam parti itu.
Sehingga 11 Mac, beliau menerima 16 pencalonan bagi mengekalkan jawatan timbalan presiden dan mendahulu tiga lagi calon lain, termasuk Azmin Ali yang rapat dibelakangnnya dengan mendapatkan 14 pencalonan.
Dalam temubual dengan malaysiakini, Syed Husin bercakap mengenai beberapa isu, termasuk keputusannya untuk mengekalkan jawatan timbalan presiden dan kesannya terhadap parti itu.
Malaysiakini: Kongres PKR kali ini dianggap menarik kerana pertamakalinya ia menyaksikan pembabitan sepenuh masa (penasihatnya) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik. Bagaimana dengan persediaannya atau isu-isu khas yang akan dibangkitkan?
Syed Husin: Soalan ini sepatutnya dijawab oleh setiausaha agung parti kerana ia membabitkan soal pentadbiran, bagaimanapun, saya akan menjawab sedikit. Saya mengganggap persiapan untuk kongres parti bertambah baik tiap-tiap tahun sejak mula-mula diadakan di Ipoh (Disember 2004). Dan kali ini, mesyuarat agung bahagian sedang dijalankan dan satu pertiga telah mengadakam mesyuarat.
Tentu sekali penyertaan saudara (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) akan menberikan impak yang positif kepada parti. Sekarangpun apabila dia kembali ke parti, kita tengok 'enthusiasm' dalam parti dan di bahagian. Kita nampak juga sambutan yang begitu luas diberi kepada beliau. Mana beliau pergi atau melawat, reaksi dari parti atau rakyat memang sangat menggalakkan. Walaupun kita harapkan beliau menjadi pemimpin (PKR), tapi ada masalah teknikal sikit kerana beliau tersekat daripada aktif politik sehingga April tahun depan. Beliau tak boleh bertanding, tapi bagaimanpun kita ambil keputusan beliau bertanding.
Pertama, kita menganggap hukuman yang dikenakan ke atas beliau bukan atas jenayah yang dilakukan. Sebenarnya beliau tidak melakukan jenayah. Beliau hanya dituduh melakukan jenayah tapi kerana tuduhan itu ada motif politik, jadi kita tidak mengiktiraf hukuman itu. Walaupun undang-undang itu zalim, tapi kadangkala kita terpaksa ikut. Jikalau tidak ikut, akibatnya parti mungkin diharamkan. Jadi kita berusaha adakah boleh atau tidak melalui permohonan kepada ROS (Pendaftar Pertubuhan). Kalau boleh ok, kalau tidak boleh, kita tengok sampai April 2008.
Apakah permohonan telah dibuat kepada ROS?
Permohonan tak boleh dibuat sekarang sebab beliau belum dilantik lagi. Jadi kita kena tunggu selepas pemilihan dan jikalau dia dipilih.
Dalam hal ini, apakah ada 'pelan B'?
Ada, salah satu daripadanya kita mungkin adakan kongres khas dan saya rasa kemungkinan dan saya sendiri berharap, untuk satu tahun itu, Datin Seri Wan Azizah (Wan Ismail) akan menjadi presiden kembali, walaupun sekarang beliau beri kelaluan (kepada Anwar).
Tapi beliau tidak akan bertanding mempertahankan jawatan presiden?
Tetapi jika Anwar tidak dibenarkan (memegang jawatan presiden), saya memohon beliau (Wan Azizah) kembali memimpin parti, sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun sehingga berakhir larangan lima tahun (ke atas Anwar). Bagaimanapun, saya berharap ia tidak perlu jika ROS bersikap bertimbang rasa kerana ia juga pernah membenarkan orang lain memegang jawatan walaupun ada larangan ke atas mereka. Sebagai contohnya, terdapat larangan terhadap ahli kesatuan sekerja aktif dalam politik, tapi V David telah dibenarkan memegang jawatan dalam DAP dan bertanding dalam pilihanraya. Sudah ada contohnya.
Apakah ada sebarang rancangan untuk menangguhkan pemilihan parti bagi memboleh Anwar memegang jawatan?
Kita tidak akan berbuat demikian. Malah, kita tidak akan menggantung pemilihan parti kerana pilihanraya umum akan datang. Kongres parti akan diteruskan, kecuali jika pilihanraya umum diadakan hampir dengan tarikh kongres parti, maka tentulah kita akan mempertimbangkannya semula. Tetapi buat masa ini, kami berharap pilihanraya (tidak diadakan pada masa yang sama).
Memandangkan ada bahagian yang turut mencalon Wan Azizah atau orang lain, apakah ianya kerana mereka bimbang ROS akan menolak permohonan itu?
Sebenarnya bukan sahaja jawatan presiden parti, bahkan semua jawatan timbalan dan naib ada pertandingan. Kita galakkan pertandingan, proses demokrasi berjalan dalam parti sebab kita menuntut demokrasi dalam negara, seperti proses pemilihan yang adil dan bersih. Begitu juga mengapa tidak kita menggalakkannya dalam parti. Jadi, walaupun Wan Azizah mengatakan bersedia bagi laluan kepada Anwar, tapi kalau bahagian nak mencalonkan Wan Azizah, mereka mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian. (Ia) selaras dengan dasar parti untuk menggalakkan proses demokrasi yang tulen. Tapi pada waktu itu nanti, kalau ada calon tak nak bertanding, kita tak boleh paksa.
Menurut pelan B Wan Azizah akan diminta menjadi presiden semula. Ia agak luar biasa. Kebiasaannya timbalan presiden dilantik menjadi pemangku?
Saya tidak rasa ianya luar biasa. Apa juga yang anda katakan, Wan Azizah sudah dianggap sebagai simbol perpaduan dalam parti, dan tentunya simbolnya sekarang ialah Anwar. Beliau (Wan Azizah) telah menonjolkan imej yang cukup baik di kalangan rakyat. Inilah (keistimewaannya) mengenai pemimpin wanita. Ini satu kelebihan untuk beliau memimpin parti, terutama dalam menghadapi pilihanraya umum. Bagaimanapun, ini belum diterima secara rasmi oleh parti. Ia telah dibincang dan dipertimbangkan. Saya akan menyokongnya.
Anda akan mempertahan jawatan timbalan presiden?
Ya, benar.
Adakah anda tidak bersedia untuk menjadi pemangku presiden?
Pertimbangan utama saya adalah imej beliau di mata masyarakat sebagai seorang wanita dan seorang pemimpin, telah diterima secara meluas di negara ini, berbanding dengan saya.
Tetapi anda juga seorang pemimpin kanan dan bersifat realistik?
Saya mungkin (pemimpin) kanan dan sebagainya, tetapi saya tidak rasa yang saya mampu menonjolkan imej sebaik Wan Azizah atau Anwar. Yang pastinya, mereka lebih terkenal.
Sebelum ini, anda berkata tidak akan mempertahankan jawatan anda, tetapi ahli-ahli masih mahu anda berbuat demikian. Tentu ada keistimewaannya?
Saya telah mengumumkan yang saya mahu bersara. Malah, saya telah mengambil cuti (dari parti) selama kira-kira enam bulan, dari Jun hingga Disember lalu. Saya telah mengumumkan dalam kongres parti (yang lalu) bahawa saya berhasrat untuk bersara, tetapi terdapat banyak tekanan dari dalam dan luar parti yang mahukan saya bertanding (jawatan timbalan presiden). Mereka mempunyai alasan dan hujah yang kukuh, jadi sukar bagi saya untuk tidak mempertimbangkannya. Jika saya berhenti sebelum pilihanraya umum, ia boleh menimbulkan salah tanggapan ini boleh disalahtafsir oleh pihak lawan yang mungkin"memutarbelitkannya" mengapa saya meninggalkan parti.
Bilakah anda mengubah fikiran (untuk bertanding)?
Tidak lama sebelum proses pencalonan bermula kira-kira seminggu sebelum bahagian pertama bermesyuarat. Banyak bahagian yang fikir saya akan (bersara), malah itulah andaian mereka.
Apakah anda mengadakan perbincangan dengan penasihat parti mengenainya?
Saya bercakap dengan semua orang dalam parti, ahli keluarga dan dalam masyarakat.
Dan mereka mahu anda bertanding semula?
Saya tidak kata yang keluarga saya mahu saya terus bertanding (ketawa). Mereka merasakan sudah tiba masanya untuk saya menumpukan lebih banyak masa bersama keluarga dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Tetapi sesetengah pihak dalam parti, malah pucuk pimpinan, pihak luar yang mengenali saya, merasakan bahawa saya perlu terus bersama parti.
Dan apakah hujah mereka?
Mereka mahu mempunyai sebuah parti yang mempunyai kepelbagaian gabungan di dalamnya. Sebuah parti dengan ahli yang mempunyai kepelbagaian di segi pengalaman, latarbelakang dan ideologi tetapi tetap bersatu, dan juga dianggotai pelbagai kaum...itu mesti ditonjolkan kerana anda mahu menonjolkan perpaduan sebenar dalam negara ini dan negara ini sendiri sebenarnya merupakan perpaduan dalam kepelbagaian.
Apakah keputusan anda itu menjadi punca berlakunya pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dengan Azmin Ali?
Saya tidak tahu. Saya tidak mahu komen mengenainya kerana saya menghormati hak demokrasi setiap orang untuk bertanding dalam pemilihan. Jika keputusan saya untuk bertanding lagi, menimbulkan masalah, ianya adalah sesuatu yang malang dan saya kesal, tetapi proses demokrasi mesti diteruskan.
Adakah anda mengadakan perbincangan dengan Azmin mengenainya? Ada desas-desus mengatakan beliau akan menarik diri.
Itu terpulang kepadanya sama ada beliau mahu menarik diri ataupun tidak. Tiada masalah antara kami berdua. Kami menghadiri mesyuarat, kami berbincang dalam mesyuarat dan kami menelefon satu sama lain, jadi tiada masalah langsung.
Tetapi beliau tidak menunjukkan sebarang hasrat untuk kekal sebagai naib presiden. Sebaliknya, beliau dilihat seperti mahu menaiki tangga (kepimpinan).
Anda patut tanya beliau (mengenainya)
Adakah ini akan menimbulkan sebarang masalah antara anda berdua?
Saya tidak tahu, saya tidak mahu komen mengenainya.
Berbalik kepada kenyataan awal anda yang tidak akan bertanding lagi...
Ya, saya ambil cuti selama enam bulan dan saya tidak aktif ketika itu, tidak pergi ke mana-mana atau mengeluarkan kenyataan dan sebagainya. Semua itulah petanda (yang saya tidak akan bertanding lagi).
Memandang kerusi timbalan presiden adalah kerusi panas, adakah anda diminta bertanding bagi mengekalkan status quo, bagi mengelak berlaku perebutan jawatan tersebut?
Seperkara yang saya pasti ialah antara mereka yang dicalonkan itu seseorang akan menarik diri apabila tiba masanya untuk menandatangan dokumen (pengesahan) sama ada mereka akan bertanding atau tidak. Jadi, masalah yang anda tanya itu telahpun terkeluar daripada pertimbangan saya, ia bukan (asas) saya membuat keputusan untuk bertanding.
Adakah anda akan bertanding dalam pilihanraya umum?
Saya telah putuskan tidak akan bertanding dalam pilihanraya.
Walaupun mungkin ada pihak yang akan mendesak anda berbuat demikian?
Kali ini, walaupun mereka yang datang dengan alasan yang bagus, saya tidak akan menerimanya.
Alasan anda?
Hal-hal keluarga dan saya tidak mempunyai tenaga lagi dalam usia 70 tahun. Ianya sukar kerana ia bukan sahaja soal tenaga untuk bertanding dalam pilihanraya tetapi juga untuk menjaga kawasan. Saya tidak fikir yang saya mampu untuk berbuat demikian.
Bagaimana dengan jawatan dalam parti? Adakah ianya juga penggal terakhir?
Ya, memang begitulah (ketawa)...tak tahu lah, ditentukan oleh Allah.
Jadi apakah rancangan masa depan politik anda? Karier politik anda?
(Ketawa) Tidak ada karier politik...di peringkat umur begini, anda tidak lagi bercakap mengenai masa depan. Tetapi saya akan meluangkan lebih banyak masa, menulis. Banyak perkara yang saya hendak tulis. Saya masih mempunyai minat dalam bidang penulisan (tetapi) sebaliknya saya telah terbabit dalam politik sejak zaman pelajar lagi, sejak 1958. Saya menjadi ahli PRM pada 1958 apabila (pengasasnya Ahmad) Boestaman menjadi pemimpinnya.
Adakah anda bercadang untuk menulis autobiografi?
Itu salah satunya, terdapat dua tiga lagi dalam perancangan. Seperti Said (Zahari, bekas wartawan dan tahanan ISA) yang boleh duduk dan menulis secara sistematik.
Pernah terfikir untuk memulakan blog?
Anda perlu menjaga sesebuah blog. Saya melihat beberapa blog, contohnya (oleh) Rustam (Sani), seorang kawan baik saya. Tetapi masalah kesihatannya mengganggu perjalanan blognya. Beliau sangat aktif pada permulaannya.
Apakah anda mempunyai rancangan tertentu untuk parti jika dikekalkan sebagai timbalan presiden?
Saya menegaskan bahawa saya mahu memberi tumpuan kepada aspek latihan terutama di kalangan orang muda. Pergerakan Angkatan Muda akan memulakan (program) latihan bulan depan. Bukan saya menganjurkannya, tetapi saya akan turut terbabit. Saya adalah pengerusi bersama biro latihan. Ia membabitkan latihan politik dan kepimpinan. Berita asal
Esok: Mengenai pilihanraya umum, dan prestasi PM

