Segelintir pengundi Padang Serai tak tahu ada calon tarik diri
Beberapa pengundi di kawasan parlimen Padang Serai masih tidak mengetahui tentang dua calon kerusi itu yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak.
Seorang pelajar, Azieza Nour Afifah Azman Zahidi, 20, berkata sebagai pengundi kali pertama dia memang teruja untuk menunaikan tanggungjawab itu namun tidak mengetahui ada calon yang menarik diri.
Dia yang melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi awam di Perak baru pulang ke Kampung Tunku Putra di Kulim pada Jumaat lalu dan tidak mendapat maklumat mengenai perkara tersebut.
“Saya tinggal di hostel tempat belajar dan tak tengok berita sebab tak ada televisyen di situ.
"Sekarang saya balik kampung sebab ada cuti pertengahan semester, tidak tahu pula ada calon menarik diri,” katanya.
Azieza adalah seorang daripada pengundi yang ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah hari ini.
Suri rumah, Fauziah Desa, 58, berkata dia yang menetap dalam kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu mungkin terlepas daripada mendapat maklumat dan hebahan mengenai calon yang menarik diri.
“Saya memang tak tahu ada calon tarik diri. Saya mengundi di Parlimen Padang Serai sebab dulu saya menyewa di sini, tapi tujuh anak saya semua sudah mengundi di Parlimen Kulim-Bandar Baharu sebelum ini,” katanya.
Muhd Luqman Hakim Mohd Aliakabar, 21, berkata dia menyedari mengenai dua calon Parlimen Padang Serai yang menarik diri daripada pembacaan di media sosial.
Penduduk Kampung Syed Sheikh di Kulim itu berkata walaupun baru mengundi pertama kali, dia tetap teruja untuk mengetahui situasi politik semasa, terutama di Padang Serai.
“Saya sudah tahu mana calon yang sudah tarik diri, jadi saya tak perlu mengundi mereka lagi.
"Walaupun ada banyak nama dalam kertas undi, saya tidak keliru sebab sudah tahu mana yang perlu diundi,” katanya.
Sebelum ini, calon BN C Sivarraajh, dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim memutuskan untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohamad Sofee.
Bagaimanapun, nama dua calon tersebut kekal dalam kertas undi berdasarkan Perkara 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, iaitu tiada seorang pun calon boleh menarik balik pencalonannya selepas jam 10 pagi pada hari penamaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/f0786d7ab98b8109368ef8fbf6edb80a.jpg)
