Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM wajar bongkar kebobrokan pentadbiran lalu - Yusmadi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu terus membuat teguran demi teguran terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu bagi mengetengahkan kebobrokannya.

Malah, bekas senator, Yusmadi Yusoff berkata tindakan perdana menteri daripada Pakatan Harapan (PH) itu juga dilihat sebagai perkara yang wajar kerana rakyat perlu mengetahuinya.

"Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekiranya diperhatian dengan tepat, beliau hanya mengetengahkan perkara tersebut sebagai pemimpin nombor satu negara dan adalah menjadi tanggungjawab agensi-agensi berkenaan untuk melakukan tanggungjawab mereka.

"Sebab itu, dalam hal ini, yang dibuat itu adalah satu sikap kepimpinan berbanding dengan Datuk Dr Marzuki yang jelas menunjukkan dengan ketara sikap budak suruhan politik. Itu perbezaan dia," katanya.

Yusmadi yang juga bekas ahli parlimen Balik Pulau mengulas kenyataan oleh Marzuki Mohamad (gambar, atas), bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin.

Marzuki pada satu hantaran di media sosial meminta Anwar berkelakuan seperti seorang pemimpin negara.

Dia juga menyindir pengerusi PH itu, berkata Anwar perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jawatan perdana menteri.

“Pembawaan Datuk Seri sejak beberapa hari ini kelihatan masih seperti ketua pembangkang. Tak mengapa. Tapi jangan lama-lama.

“Rakyat tak boleh tunggu lama. Mulai minggu depan, Datuk Seri mesti kelihatan seperti Perdana Menteri yang sebenar. Apa yang Datuk Seri patut buat minggu depan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Yusmadi berkata kenyataan Marzuki itu jelas menggambarkan bahawa selama ini kebertanggungjawaban demokasi bukanlah perkara penting dalam pentadbiran kerajaan PN sebelum ini.

"Setahu saya, selain daripada membina dasar yang baik dalam mentadbir, membina kapasiti yang efektif, mematuhi undang-undang, kebertanggungawapan demokrasi adalah satu perkara yang sangat penting.

"Cumanya di sini, saya tak terkejut kenapa dia tidak faham kerana dia sendiripun selama ini hanyalah (budak suruhan politik) bukan pemimpin politik yang pernah pada bila-bila masa yang dipilih oleh rakyat," katanya.

Jelasnya, mungkin keabsahan politik bagi Marzuki ialah kuasa bukan seperti yang difahaminya bahawa keabsahan politik adalah keyakinan rakyat serta sokongan rakyat.

Yusmadi juga berkata adalah lebih baik untuk Marzuki menasihati Muhyiddin untuk menjadi pembakang yang baik daripada sibuk menegur perdana menteri.

"Saya percaya yang sepatutnya difikirkan oleh Datuk Marzuki, seorang budak politik yang setia menasihati Muhyiddin bagaimana untuk menjadi pembangkang yang baik.

"Kerana selama ini, berdasarkan pengalaman saya di parlimen untuk menjadi pembangkang yang baik sehingga hari ini kita kurang lihat daripada mereka yang belum ada pengalaman.

"Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikkan beliau telah terbukti sebagai seorang pembangkang yang baik sebab itulah rakyat memberi beliau peluang untuk mentadbir negara," tambahnya.

Lihat Komen
ADS