Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama PAS: Kenapa dakwaan PH terima dana asing tak disiasat?
Diterbitkan:  Dec 7, 2022 7:22 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Dewan Ulama PAS mempersoalkan mengapa tiada siasatan terhadap dakwaan bahawa PH menerima dana asing ketika menjadi pembangkang.

Perkara itu dibangkitkan susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH, yang mendakwa PN - gabungan yang dianggotai PAS - menerima dana pilihan raya dari syarikat perjudian.

Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya berkata, dakwaan berkaitan dana asing itu lebih bahaya kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Persoalan paling mustahak adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini.

"Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU14 yang lalu.

"Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya," katanya dalam kenyataan.

Pada Julai 2018, iaitu dua bulan selepas kemenangan PH, Twining dalam sebuah forum mendakwa organisasinya cuba "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia sejak 2002.

Susulan itu, NGO dan parti politik termasuk PAS menggesa kerajaan menyiasat dakwaan tersebut dan jika benar, ia boleh dilihat sebagai satu campur tangan terhadap sistem politik negara.

PN komited lawan judi

Ahmad turut menyangkal dakwaan Anwar bahawa PN menerima dana dari syarikat judi.

Dia berkata komitmen PN dalam menentang perjudian adalah jelas, dengan membangkitkan keputusan kerajaan Kedah menyusuli Kelantan dan Terengganu untuk menghentikan operasi premis judi bermula tahun depan.

"Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?

"Malah, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat PH mencecah RM3.43 bilion (2019), tertinggi sejak tahun 2010.

"Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini?" soalnya.

Lihat Komen
ADS