Wanita Gerakan akur jika Umno mahu mengambil kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya umum akan datang, kata Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Bagaimanapun, katanya, kata putus mengenainya hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Gerakan amat menghormati semangat BN dan kerana itu kami tidak membantah jika parti komponen BN lain bertanding di Bukit Gantang dalam pilihanraya akan datang," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Umno bahagian Bukit Gantang, Datuk Mat Isa Ismail bahawa kerusi itu akan menjadi milik Umno dalam pilihanraya umum akan datang.Mat Isa dilaporkan berkata, kerusi Bukit Gantang yang kini disandang oleh Tan, akan dikembalikan kepada Umno dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kerusi parlimen Bukit Gantang tetap akan dikembalikan kepada Umno sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini iaitu satu penggal sahaja," kata Mat Isa dalam Bernama semalam.

Mat Isa juga dilaporkan berkata, Menteri Besar Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, selaku Pengerusi Perhubungan Umno Perak, telah memberi pengakuan kepada Umno bahagian Bukit Gantang mengenai perkara tersebut.

'Tidak tahu menahu'

Sehubungan itu, Tan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perjanjian bahawa kerusi itu akan diserahkan kembali kepada Umno dalam pilihanraya umum nanti.

Mengenai krisis antara Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP), Tan berkata, penyelesaian kepada krisis tersebut kini terletak di tangan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.

Beliau berkata, pihaknya tidak tahu sebab sebenar bagaimana krisis antara kedua-dua parti komponen BN itu boleh berlaku.

"Saya tidak mahu melayan beliau kerana mahu menumpukan kepada kerja-kerja membantu rakyat, sesuai dengan tanggungjawab sebagai seorang ahli Parlimen," katanya.

Tan berkata, bagaimanapun beliau menghormati Kayveas sebagai Ahli Parlimen Taiping dan Presiden PPP yang juga parti komponen BN.

Wanita Gerakan, katanya, tidak akan memulaukan program PPP selaras dengan semangat BN yang disemai sekian lama.

Baru-baru ini, PPP membantah pelantikan Tan sebagai Pengerusi Penyelaras BN Taiping dan menjadi salah satu sebab berlakunya perang mulut antara Kayveas dengan Presiden Gerakan, Datuk Lim Keng Yaik.