Sumber dalaman Pakatan Harapan (PH) mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong lewat hari ini untuk membentangkan senarai timbalan menteri bagi kabinetnya.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini, sumber itu mengesahkan Anwar akan menghadap Agong sekali gus mempersembah senarai cadangan timbalan menteri yang dipilih.

"Tetapi saya tidak pasti jam berapa, sebab dia akan pergi solat Jumaat di Kampung Baru terlebih dulu," kata pemimpin kanan sebuah parti komponen PB berkenaan.

Ditanya sama ada pertemuan tersebut akan disusuli upacara angkat sumpah timbalan menteri, sumber yang merupakan wakil rakyat itu memberitahu, majlis berkenaan akan diadakan sama ada "esok atau lusa".

Bagaimanapun, sumber itu mendakwa dia tidak tahu sebarang maklumat mengenai apa yang terkandung dalam senarai berkenaan, serta berapa jumlah yang akan diperoleh oleh setiap parti.

Katanya Anwar agak berahsia mengenai senarai tersebut.

Dipercayai ada banyak pihak yang melobi untuk mendapatkan jawatan timbalan menteri bagi parti masing-masing, justeru Anwar merahsiakan perancangannya kecuali kepada kalangan orang tertentu saja.

Semalam, Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber mendakwa sekurang-kurangnya ada 35 nama dipertimbangkan oleh Anwar untuk mengisi jawatan timbalan menteri.

Selain dari PH, nama yang dipertimbangkan termasuklah wakil dari BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Laporan itu mendakwa, bilangan timbalan menteri akan dihadkan kepada hanya seorang bagi setiap kementeria, dengan pengecualian diberikan kepada kementerian yang menggabungkan beberapa portfolio.

Ia selaras dengan janji PH untuk mengecilkan saiz kabinet.

Nama wakil PH yang disebut-sebut akan menyertai senarai Anwar ialah Teo Nie Ching (Kulai), Liew Chin Tong (Iskandar Puteri), Steven Sim (Bukit Mertajam), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Daripada BN pula antara spekulasi yang dikaitkan ialah Ahmad Maslan (Pontian), Mohamad Alamin (Kimanis), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Jalaluddin Alias (Jelebu) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Sementara itu Anwar dilaporkan berkata senarai timbalan menteri berkenaan akan diumumkan pada jam 8.15 malam ini.

[Baca berita asal]