Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Hanya dasar reformasi mampu kekang ‘gelombang hijau’
Diterbitkan:  Dec 9, 2022 4:40 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi mencegah Malaysia tenggelam dalam “gelombang hijau” PAS, kata ahli politik veteran DAP  Lim Kit Siang.

Katanya kerajaan harus mengambil pelajaran daripada pilihan raya umum ke-15 bagi mengelakkan demokrasi dirampas oleh politik “pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama”.

“Penting bagi kerajaan untuk menangani masalah salah maklumat dan polarisasi di media sosial, yang menjadi ancaman kepada demokrasi berparlimen Malaysia, dan membina kerajaan yang bersih, jujur dan tidak korup,” katanya.

Katanya langkah itu boleh memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, sepuluh tahun dari sekarang.

Dua pemimpin paling kanan PAS dan Bersatu - Hadi dan Muhyiddin

Rabu lalu, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS menang dalam pilihan raya parlimen Padang Serai. 

Pengerusinya Muhyiddin Yassin menyifatkan perkara itu sebagai “undi tidak percaya” terhadap kerajaan baru.

PN menang semua kerusi parlimen di Perlis Kelantan dan Terengganu dan hanya kalah satu tempat di Kedah. Gabungan itu mempunyai 74 kerusi, kedua terbesar selepas Pakatan Harapan (PH).

PN bagaimanapun menjadi pembangkang selepas enggan membentuk kerajaan perpaduan dengan PH yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan campuran setelah mendapat sokongan BN dan parti-parti daripada Sabah dan Sarawak.

Lihat Komen
ADS